KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2015 LABUHKAN TIRAI

image (6)

JOHOR BAHRU – Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 melabuhkan tirainya, semalam, selepas empat hari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mendampingi rakyat dengan menempuh perjalanan sejauh 858 kilometer di seluruh Johor.

Majlis penutup dianjurkan di Hutan Bandar MPJBT Mutiara Rini, di sini.

Turut berangkat hadir, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta anakanda baginda.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disusuli nyanyian lagu Bangsa Johor dan bacaan doa oleh Mufti Negeri Johor, Sohibus Samahah Dato Mohd Tahrir Samsudin.

Majlis diteruskan dengan sembah ucapan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diikuti penyampaian cenderahati dan majlis santapan.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled merafakkan rasa syukur sekembalinya Sultan Ibrahim berserta rombongan kembara dalam keadaan selamat.

Menurutnya, warga Johor bangga dan gembira kerana baginda bersama keluarga DiRaja tanpa gagal setiap tahun menyantuni rakyat di negeri ini, dengan penuh keikhlasan.

“Peluang bertemu sosok tertinggi negeri, kepada rakyat kebanyakan adalah pengalaman paling istimewa yang pasti dikenang seumur hidup.

“Bukanlah mudah untuk menggambarkan betapa besarnya hati rakyat jelata bila berkesempatan bertemu Sultan Johor yang dikasihi.

“Lebih tersemat di sanubari kerana Tuanku dan keluarga DiRaja mencemar duli, menjenguk mereka di tanah halaman mereka,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, KMJ menzahirkan dan mewakili beberapa manifestasi yang unik, bermakna, istimewa dan tersendiri.

Katanya, kembara itu merupakan manifestasi sebuah pemerintahan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat; betapa kukuh dan dekatnya institusi raja di hati rakyat jelata.

“Kembara ini membuka ruang untuk semua pihak menambah baik, segala perkhidmatan dan amal dan bakti kepada rakyat.

“Ia manifestasi sistem nilai yang menjadi pegangan serta keperibadian Tuanku dan keluarga DiRaja Johor,” katanya.

Beliau berkata, segala keunikan itu sekali gus menunjukkan program DiRaja tidak terhad dalam persekitaran rasmi, penuh protokol atau upacara tertentu sahaja.

“Hubungan istana dengan rakyat di Johor diketahui istimewa dan intim. 

“Segala telah didengar dan disampaikan kepada Tuanku oleh rakyat jelata, panjangkan dan maklumkan kepada patik agar patik dan seluruh jentera pentadbiran boleh membantu menyelesaikan mana yang kurang, menambah mana yang perlu dan memperbaiki mana yang silap,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial