KEMENTERIAN PENDIDIKAN TERUS PANTAU KEADAAN JEREBU DI JOHOR

Kementerian Pendidikan akan memantau keadaan jerebu di Johor sehingga 4 petang esok sebelum membuat keputusan sama ada sekolah di negeri itu ditutup atau tidak.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata keputusan sama ada sekolah di Johor ditutup atau tidak pada Ahad akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan 5 petang esok.

“Kami (kementerian) akan pantau sehingga petang esok. Jikalau paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johor tidak turun, kami akan minta Jabatan Pendidikan Johor menutup sekolah di negeri itu.

“Jikalau paras IPU di negeri Johor mulai menurun, kami tidak akan menutup (sekolah),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampung Mani di sini, hari ini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, kementeriannya juga akan memantau keadaan jerebu di Melaka dan Negeri Sembilan berikutan kedudukannya berhampiran dengan Johor. Katanya, sekolah di Negeri Sembilan dan Melaka akan memulakan persekolahan pada Isnin, berbanding murid-murid di Johor yang akan kembali bersekolah Ahad ini.

Keadaan jerebu di beberapa bahagian di Johor semakin buruk dengan tahap IPU di Pasir Gudang sebagaimana dilaporkan oleh portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga 2 petang ini mencecah kategori tidak sihat pada 182, Kota Tinggi (124) dan Larkin Lama (177).

Kerajaan Singapura juga memutuskan untuk menutup sekolah di republik itu hari ini berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk, dengan tahap Indeks Standard Pencemaran (PSI) di negara itu sehingga 3 petang tadi mencatat bacaan 231 hingga 283.

Mengenai majlis korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, beliau berkata sebanyak 150 ekor lembu diagih-agihkan ke seluruh kawasan Parlimen Padang Terap untuk disembelih pada hari raya ini. Majlis itu turut dihadiri exco kerajaan negeri Datuk Badrolhisham Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial