Kenyataan Media Rasmi SPRM: Kerajaan Negeri Johor Tandatangani IBR Bersama SPRM

Kerajaan Negeri Johor hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) atau Corruption Free Pledge yang dipelopori oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan dengan ikhlas, telus serta bersih daripada sebarang anasir rasuah dan salahguna kuasa.

Pada majlis tersebut, Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah
mendahului upacara melafaz dan menandatangani IBR yang disertai sembilan Exco dan tiga ex-officio.

Majlis yang berlangsung di bilik mesyuarat eksekutif pejabat Menteri Besar Johor itu disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Inisiatif ini sekali gus memperlihatkan kesungguhan Kerajaan negeri Johor bagi memperkukuhkan lagi perlaksanaan pentadbiran dengan lebih telus serta bebas daripada anasir rasuah dan salahguna kuasa.

Dengan menandatangani IBR, kerajaan negeri memperlihatkan kepimpinan melalui teladan selain menunjukkan sokongan yang padu kepada inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh SPRM bagi memastikan negara bebas daripada jenayah rasuah.

SPRM berharap inisiatif ini dapat menyekat perbuatan atau penglibatan dalam rasuah dan salahguna kuasa di peringkat tertinggi pentadbiran negeri lagi.

IBR merupakan satu usaha SPRM untuk memastikan pentadbiran semua negeri di negara ini menunjukkan komitmen yang tegas dan telus dalam memastikan pentadbiran negeri-negeri di Malaysia bebas daripada unsur-unsur rasuah dan salahguna kuasa.

IBR menekankan kepada ikrar serta janji dalam kapasiti sebagai individu oleh mereka yang terlibat bagi menjunjung tanggungjawab untuk menghindari diri daripada terlibat dengan sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.

Oleh yang demikian, setiap jentera pentadbiran kerajaan perlu mencerminkan wajah institusi yang bersih dan bebas daripada sebarang anasir rasuah.

SPRM juga berharap negeri-negeri lain akan turut mengambil inisiatif untuk menandatangani IBR bagi menunjukkan komitmen pihak pentadbiran dalam menangani isu rasuah dan salahguna kuasa.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
JOHOR

20 APRIL 2017

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial