Keputusan Singapura Perlu Dilihat Dari Sudut Positif

IMG_4362

KLUANG, 17 Jan – Malaysia menghormati keputusan Singapura memperkenalkan Caj Jalan Raya Timbal Balas atau ‘Reciprocal Road Charge’ (RRC) yang akan dikuatkuasakan kepada semua kenderaan yang berdaftar di luar negara itu mulai 15 Februari ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu perlu dilihat dari sudut yang positif.

“Secara positifnya, ia memberi peluang untuk mengalakkan rakyat Malaysia yang perlu masuk ke negara itu pada setiap hari untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Untuk itu, saya yakin Singapura sudah mengkaji implikasi pelaksanaannya itu kelak tidak menjejaskan rakyat Malaysia untuk masuk dan bekerja di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja sehari ke Parlimen Kluang, di sini hari ini.

Menurutnya, caj jalan raya atau ‘road charge’ yang dilaksanakan oleh Malaysia terlebih dahulu tidak memberi kesan besar kepada rakyat Singapura.

“Sewaktu Malaysia melaksanakan caj jalan raya atau ‘road charge’, Singapura beranggapan bahawa jumlah kenderaan yang masuk ke negara kita akan berkurangan.

“Tetapi keadaan sebaliknya berlaku, oleh itu, saya juga merasakan keadaan yang sama akan berlaku apabila RRC dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya lagi, rakyat Malaysia yang masuk ke Singapura dikelaskan kepada dua kategori.

“Pertama, mereka yang sekali-sekala keluar negara dan perlu menampung segala kos.

“Kedua, mereka yang bekerja di sana tetapi menaiki motosikal sebagai mod pengangkutan utama.

“Maka, mereka yang betul-betul menaiki kereta untuk ke sana berada dalam jumlah yang kecil,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kritikan Tun Mahathir mengenai kemasukan pelabur asing dari China ke Johor, beliau tetap menyatakan pendirian teguh mengenainya seperti sebelum ini, sambil menambah bahawa titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu ada kebenarannya.

“Tun Mahathir hanya mahu menimbulkan rasa takut di hati rakyat Johor kerana motif politik.

“Bagaimanapun, rakyat Johor tidak boleh menerima sebarang kritikan yang melibatkan perkauman,” ulasnya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial