KERAJAAN DIGESA TERUS BANTU PELABUR TEMPATAN

11892270_503488916481091_9154190204515485531_n

11951977_503489023147747_7924484849565274880_n

JOHOR BAHARU – Kerajaan digesa terus membantu syarikat pelabur tempatan menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar dalam keadaan ketidaktentuan ringgit, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ini bagi memastikan golongan pelabur tempatan kekal dapat bersaing dengan pelabur asing.

"Pelabur asing tidak menghadapi masalah kerana mata wang mereka semakin mengukuh tetapi, bagi pelabur tempatan, kita (kerajaan) perlu membantu supaya kos perniagaan yang tinggi tidak menghalang mereka untuk melabur…jika kita tidak membantu, mereka akan kalah dengan persaingan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Lotte Ube iaitu sebuah kilang getah 'Polybutadiene' pertama di Malaysia, di Taman Perindustrian Tanjung Langsat, dekat Pasir Gudang hari ini.

Justeru itu, kerajaan negeri Johor mengalu-alukan usaha kerajaan pusat mengkaji kesan ekonomi global dan ketidaktentuan ringgit kepada pelabur tempatan serta prestasi perniagaan semasa, katanya.

Beliau berkata langkah berkenaan diperlukan bagi memastikan pelaburan syarikat tempatan tidak terjejas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, penyusutan mata wang adalah perkara di luar kawalan, dan ia menjadi fenomena di beberapa negara kebelakangan ini antaranya Australia, New Zealand, Jepan dan Korea.

"Kita tidak perlu memperbesar-besarkan (penyusutan) ringgit kerana dari segi modal swasta jangka masa panjang, Malaysia cukup menarik untuk pelaburan.

"Ini kerana Malaysia telah mempunyai asas yang dinamik seperti ekosistem perniagaan yang menarik, tenaga kerja berkualiti dan sistem kawal selia mengikut piawaian antarabangsa," katanya.

Pada awal dagangan hari ini, ringgit dilaporkan terus menurun kepada 4.24 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Penurunan itu merupakan pertama kali sejak krisis kewangan Asia, 17 tahun lepas.

17 Ogos lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan mengkaji pergerakan ringgit dan mencadangkan penyelesaian bagi mengurangkan beban yang ditanggung sektor perniagaan.

Selain itu kerajaan juga kini memantau rapat prestasi dagangan untuk tempoh dua hingga tiga bulan akan datang sebelum memutuskan untuk menyemak semula angka dagangan tahun ini berikutan persekitaran ekonomi dunia yang mencabar. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial