Kerajaan Johor dapat RM5 daripada RC

SEGAMAT, 30 Okt – Kerajaan Johor akan mendapat RM5 daripada bayaran caj jalan raya (RC) sebanyak RM20 yang bakal dilaksanakan di Tambak Johor dan Link Kedua mulai Selasa ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sebanyak 144,000 kenderaan Singapura sudah didaftar menerusi sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) sehingga Julai lalu.

Katanya, kira-kira 20,000 kenderaan Singapura memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Link Kedua setiap hari dan jumlah berkenaan berganda pada hujung minggu serta cuti perayaan.

“Pelaksanaan RC di Tambak Johor dan Link Kedua sudah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan Singapura selepas kita menjalankan percubaan selama dua bulan.

“Kerajaan Johor berhak mendapat RM5 daripada setiap bayaran RM20 yang dikenakan terhadap kenderaan Singapura menerusi pelaksanaan RC,” katanya selepas melawat Tokong Pertubuhan Penganut Dewa Tai Poh Yah di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Sementara itu, Tiong Lai menolak dakwaan pelaksanaan RC adalah diskriminasi terhadap kenderaan Singapura seperti didakwa Kementerian Pengangkutan Singapura.

“Singapura sudah berpuluh tahun mengenakan bayaran masuk terhadap kenderaan Malaysia manakala kita baru nak mula bulan depan. “Kalau Singapura mahu mengenakan langkah sama (RC) terhadap kenderaan Malaysia selepas ini kerana kita buat, itu hak mereka,” katanya.

Semalam, Tiong Lai mengumumkan semua kenderaan persendirian dengan nombor pendaftaran asing memasuki Malaysia melalui Johor akan dikenakan raya RC sebanyak RM20, bermula 1 November ini.

Katanya, bayaran akan dikutip setiap kali kenderaan asing memasuki negara ini melalui sistem kad ‘Touch n’Go’. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial