Kerajaan Negeri Bina 548 Unit RMMJ di Taman Perbadanan Islam Maharani

image

 

MUAR, 6 Ogos – Kerajaan Negeri terus membuktikan komitmen untuk menjayakan agenda perumahan rakyat apabila sejumlah 548 unit rumah mampu milik bakal dibina di Taman Perbadanan Islam Maharani yang dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, pembangunan itu bakal memberi manfaat kepada penduduk di daerah Muar kerana ini merupakan Taman Perbadanan Islam pertama dibangunkan oleh PIJ Holdings di luar daerah Johor Bahru, selain rancangan pembangunan di Pagoh, Labis dan Rengit.

“Pembangunan di Bandar Maharani itu melibatkan pembinaan 78 unit jenis Perumahan Komuniti Jenis (PKJ) A, 156 unit jenis PKJ (B), 314 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), dan inkubator.

“Pada masa sama, pembangunan disitu juga akan memastikan bahawa 70 peratus pembinaannya adalah dikelaskan sebagai Rizab Melayu bagi menjamin kelangsungan penduduk Melayu dalam bandar yang menjadi dasar Kerajaan Negeri.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor Taman Perbadanan Islam Maharani, di Muar, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Muar, Dato’ Razali Ibrahim dan Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn Bhd, Rozan Mohd. Sa’at.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyatakan mengenai usaha berterusan daripada syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Johor untuk turut sama membantu menjayakan agenda perumahan untuk rakyat.

“Selain PIJ Holdings, ini termasuklah daripada Johor Corporation (JCorp) melalui pembinaan 8,000 unit rumah mampu milik, 1,763 unit oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan 11,362 unit oleh Yayasan Pelajaran Johor Holdings (YPJH).

“Semua usaha itu adalah bagi mewujudkan keseimbangan dalam pembangunan masyarakat,” katanya.

Mohamed Khaled berkata pembangunan rumah mampu milik juga dapat membantu mencapai dua keseimbangan.

“Pertamanya, keseimbangan dalam pembangunan yang bersifat komersial dan kepentingan sosial, serta keseimbangan taburan orang Melayu dan bukan Melayu dibandar.

“Kedua, penglibatan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri juga berupaya untuk menawarkan harga yang kompetitif dan jauh lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.

Tambahnya lagi, mengambil contoh projek yang akan dibangunkan di sini, PIJ Holdings terpaksa menyerap 50 peratus kos yang dikeluarkan sebanyak kira-kira RM20.4 juta.

“Bagi rumah PKJ (A), ia dijual pada harga RM42,000 seunit sedangkan harga pasaran bernilai RM80,000 seunit.

“Bagi rumah PKJ (B) pula, ia dijual pada harga RM80,000 seunit sedangkan harga pasaran bernilai RM120,000 seunit.

“Manakala bagi unit kelas RMMJ, ia dijual pada harga RM150,000 seunit berbanding RM220,000 seunit dengan potongan kira-kira RM70,000 seunit,” katanya.

Beliau menambah, keseimbangan sentiasa menjadi fokus utama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri yang tidak hanya memberi perhatian kepada projek berskala besar.

“Keseimbangan taburan dan pola kadar kependudukan kaum dalam kawasan bandar harus dipertahankan.

“Justeru kewujudan Taman Perbadanan Islam itu akan dapat mencapai hasrat kerajaan dalam perkara tersebut,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial