Kerajaan Negeri Johor Sambut Baik Projek HSR KL-Singapura

mb pic
Mohamed Khaled

PASIR GUDANG, 23 Julai – Kerajaan Johor amat mengalu-alukan projek pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Lumpur-Singapura yang dipersetujui antara Malaysia dan Singapura pada Selasa lalu.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan projek kereta api tersebut akan turut membantu pertumbuhan pembangunan dan ekonomi negeri Johor.

“Kita amat mengalu-alukan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua pemimpin negara kita dan Singapura, dan sudah tentulah kedua-dua pihak akan mengadakan rundingan berterusan.

“Kita di Johor memang telah melaksanakan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) yang mengenalpasti corak pembangunan setiap daerah di dalam negeri seperti Muar, Batu Pahat, dan Pontian.

“Dan dengan adanya HSR itu, ia sekaligus akan membantu kita merealisasikan PPSJ dan kita akan membuat persediaan mengambil manfaat dengan pembinaan HSR”, katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Kursus Perdana Haji 1437H/2016M Peringkat Negeri Johor, yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Stadium Tertutup Pasir Gudang, semalam.

Pada 19 Julai lalu, Malaysia dan Singapura memeterai MoU berkaitan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura sekaligus menandakan komitmen kedua-dua negara untuk menjayakan projek ikonik itu.

MoU berkenaan ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur Singapura, Khaw Boon Wan yang juga Menteri Pengangkutan negara itu, dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Projek HSR, yang disasarkan memulakan operasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Landasan sepanjang 350 kilometer (km) itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300km sejam.

Kedua-dua kerajaan akan menawarkan tender antarabangsa pada Ogos 2016 untuk melantik rakan kongsi pembinaan bersama.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial