Kerajaan Negeri komited bantu kontraktor bumiputera

jauharSKUDAI: Kerajaan Negeri komited membantu kontraktor dan usahawan bumiputera di negeri ini untuk terus berkembang dengan melibatkan golongan itu dalam projek-projek yang berkaitan kerajaan.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata Kerajaan Negeri akan memberi fokus berkenaan soal pengagihan supaya pertumbuhan ekonomi di Johor dapat dirasai oleh semua termasuk golongan kontraktor dan usahawan tempatan.

“Kita fokus pada pengagihan supaya projek-projek besar yang ada kaitan dengan kerajaan tidak akan melupakan peranan dan penyertaan syarikat tempatan, sama ada usahawan dan sebagianya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Wisma Persatuan Kontraktor Melayu Negeri Johor di sini.

Mohamed Khaled berkata, pengagihan itu termasuklah mengenai kontrak Pembangunan Integrasi Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.
Katanya, Kerajaan Negeri bakal memuktamadkan rundingan dengan Petroleum Nasional Bhd (Petronas) mengenai pengagihan kontrak RAPID dalam masa terdekat.

“Kita sedang berunding dengan pihak Petronas dan kita menjangkakan mendapat keputusan yang positif dari itu, yang mana dalam soal ini kita sudah lantik Datuk Hasni Mohamad (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pembangunan Luar Bandar) untuk melihat bagaimana untuk mengagihkan projek atau kontrak tersebut bila ia dilaksanakan.

“Jumlah peratusan mengenai pengagihan tersebut belum lagi diputuskan tetapi secara prinsipnya syarikat petroleum negara itu telah bersetuju akan pentingnya peluang diberikan kepada kontraktor dan usahawan Bumiputera dan tempatan,” katanya.

Katanya, bagi kontraktor Bumiputera negeri ini yang berminat dengan projek Rapid ini, mereka diminta mendaftarkan diri supaya boleh dinilai dari segi kelayakan bagi mendapatkan kontrak tersebut.

Selain itu, beliau turut meminta semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terutama di negeri Johor supaya meletakkan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) untuk untuk 10 syarikat yang sudah dibantu setiap tahun.

"Daripada situ, kita akan pastikan ketulenan program-program untuk membesar dan memantapkan syarikat syarikat itu. Setiap GLC dan GLIC mesti, sudah bertahun-tahun mereka wujud, siapa (syarikat) yang telah mereka tolong," kata beliau.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial