Kerajaan Negeri Komited jaga kepentingan Melayu – MB

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri tidak akan sama sekali meminggirkan masyarakat Melayu di dalam arus pembangunan pesat yang sedang berlaku di Johor ketika ini.

Jaminan itu diberikan oleh Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin sendiri apabila beliau menegaskan, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan masyarakat Melayu terbela.

"Ingin saya ulas bahawa dalam 105 inisiatif yang saya bentangkan dalam Bajet 2015, hampir kesemuanya akan turut dinikmati oleh 'orang Melayu' walaupun bukan dilakukan khas atas nama dan kepentingan orang Melayu.

 "Malah kita sudah acapkali menghebahkan yang kita telah merekodkan peningkatan yang begitu besar dalam peratusan tanah Rizab Melayu di Johor. Dasar kita bukan sahaja tanah Rizab Melayu harus bertambah, tetapi kita juga memperkenalkan dasar bahawa Melayu mesti menduduki kawasan bandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gemilang Darul Ta'zim anjuran Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, seiring dengan hasrat itu, Kerajaan Negeri sudah merancang untuk mewujudkan Taman Perbadanan Islam.

"Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri juga sedang mengenalpasti beberapa lagi kawasan di setiap daerah di negeri ini,”.

Selain itu katanya,  antara lain usaha dilakukan adalah pengambilalihan tapak bekas Kem Tebrau yang sebahagian besarnya akan digunakan untuk membina Rumah Mampu Milik.

Tambahnya, pada masa sama Kerajaan Negeri juga tidak menyambung pajakan kawasan perindustrian Larkin bagi dijadikan sebagai Rizab Melayu demi mengekalkan masyarakat Melayu di bandar.

"Kita menyediakan ruang yang seluas-luasnya kepada rakyat khususnya orang Melayu, terserahlah sama ada kita bersedia untuk merebut peluang.

"Kalau saya baca sesetengah (laporan akhbar) itu seolah-olah tanah kerajaan semua jadi kondominium…tidak…sebab itu adalah tanah persendirian," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial