Kerajaan Negeri komited sediakan rumah mampu milik

PASIR GUDANG: Kerajaan Negeri serius dalam memenuhi keperluan rakyatnya untuk memiliki kediaman sendiri yang selesa lebih-lebih lagi perkara itu adalah sebahagian daripada janji dalam manifesto pilihan raya yang lalu.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, ia termasuk sasaran setinggan sifar dalam tempoh lima tahun.

“Memang kerajaan berjanji bukan sahaja untuk menyediakan bekalan rumah mampu milik yang mencukupi, tetapi kerajaan juga menjanjikan untuk mengatasi semua isu-isu berkaitan soal pemilikan dan permohonan tanah.

“Pencapaian setinggan sifar dalam tempoh lima tahun di Negeri Johor bermakna kerajaan perlu menyelesaikan semua permohonan-permohonan tanah khususnya yang terletak atas tanah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Sijil Layak Milik Tanah Kampung Pasir Gudang Baru di sini semalam.

Katanya, sebanyak 14 daripada 94 pemohon layak untuk menerima sijil pada majlis berkenaan manakala bakinya akan menerima sijil tersebut selepas selesai membuat bayaran premium tanah berkenaan.

Sementera itu, mengulas mengenai cadangan pembinaan jambatan persahabatan antara Singapura dan Johor, beliau berkata ia adalah satu rancangan jangka panjang yang perlu difikirkan dalam tempoh terdekat.

“Sememangnya perlu difikirkan pada masa sekarang kerana dalam keadaan ekonomi Johor dan Singapura melalui Iskandar Malaysia perlu saling melengkapi, perjalanan antara kedua Negara akan bertambah dan ini menyebabkan kita perlu melihat jambatan yang sedia ada sama ada ia mampu memenuhi keperluan pada masa akan datang,” katanya.

“Kita juga sedia memberi pandangan dan input kita dalam soal ini,” katanya.
 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial