Kerajaan Negeri Lancar Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor Dengan Kerjasama AmBank

pembiayaan

ISKANDAR PUTERI, 13 Sept – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kumpulan Ambank hari ini melancarkan Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor bagi membantu golongan selayaknya untuk memiliki rumah mampu milik Johor (RMMJ).

Ia mencatat sebuah lagi pencapaian besar dalam agenda perumahan Kerajaan Negeri, kerana menjadi negeri pertama di Malaysia untuk melaksanakan pembiayaan sedemikian untuk rakyatnya.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata dengan jumlah dana yang mencecah RM300 juta, skim pembiayaan itu dijangka mampu menawarkan pembiayaan kepada lebih kurang 4,000 pemohon daripada golongan sasar.

“Antara golongan sasar termasuklah peniaga kecil-kecilan, mereka yang berpendapatan tidak tetap, mereka yang bekerja secara kontrak yang pendek serta pelbagai golongan lain dalam kedudukan yang sama.

“Sehingga Julai 2016, lebih kurang 24,000 penawaran telah dikeluarkan untuk mereka yang layak memiliki rumah mampu milik, tetapi hampir 9,000 penerima tawaran itu gagal mendapatkan pembiayaan kewangan untuk membiayai pemilikan rumah.

“Bagi tahun 2016 sahaja, sebanyak 6,430 unit telah dan akan disiapkan, menjadikan jumlah unit terkumpul semenjak 2014 adalah 10,061 unit bagi rangkaian RMMJ berharga RM42,000, RM80,000 dan RM150,000.

”Maka, dengan adanya skim pembiayaan tersebut ianya menjadi salah satu inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu golongan yang tidak mempunyai kriteria yang diperlukan oleh bank komersial untuk memiliki rumah dan membina kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor di antara Kerajaan Negeri Johor dan Ambank Islamic Berhad,
di Hotel Jen Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Kumpulan AmBank diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eqhwan Mokhzanee manakala Kerajaan Negeri Johor pula diwakili oleh Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Mohammed Ridha Dato’ Haji Abd. Kadir.

Turut hadir Pengerusi Kumpulam Ambank, Tan Sri Azman Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abdul Latif Bandi.

Sementera itu, Mohamed Khaled turut menyatakan beberapa ciri unik yang ada pada skim pembiayaan tersebut.

“Pertama, ia adalah satu skim pembiayaan perumahan Islamik yang mempunyai salah satu pertimbangan utama para penerima rumah mampu milik, manakala yang kedua ia bertujuan memberi peluang kepada hanya rakyat Johor yang berpendapatan tidak lebih daripada RM5,000.

“Ketiga, dananya datang dari Kerajaan Negeri Johor tetapi diagihkan melalui sistem pembiayaian yang dikendalikan oleh Ambank agar setiap penerimanya akan mematuhi disiplin sebagai peminjam yang bertanggungjawab.

“Manakala yang terakhir, skim pembiayaan itu masih tertakluk kepada syarat-syarat umum dan minimum serta perlu melalui proses dan prosedur yang telus sebelum pemohon layak menerima pembiayaan,” katanya.

Beliau turut berkata, usaha Ambank melalui skim pembiayaan itu juga perlu dicontohi oleh lebih ramai lagi pihak lain sebagai sebuah permulaan yang positif.

“Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai legasi lebih 40 tahun dan kehadiran kira-kira 21 buah cawangan di seluruh Johor, saya yakin skim pembiayaan itu akan menjadi satu lagi inisiatif untuk rakyat memiliki rumah.

“Malah Ambank Islamic juga merupakan bank pertama yang berjaya menyahut cabaran dalam melaksanakan skim pembiayaan rumah mampu milik,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial