KERAJAAN NEGERI MAHU PIPC JADI SATU MODEL PROJEK TRANSFORMASI LUAR BANDAR YANG BERJAYA

PENGERANG: Kerajaan Negeri mahu Projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIPC)menjadi satu lagi model projek transformasi luar bandar yang berjaya seperti FELDA.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, jika Felda dan visinya berjaya menggunakan pertanian sebagai katalis transformasi luar bandar, maka di Johor dan Pengerang, katalisnya ialah PIPC.

“Projek ini adalah satu usaha kerajaan untuk mentransformasikan kawasan luar bandar di Malaysia ini. Kita ingin bangun dan kembangkan potensi yang ada di desa dan kawasan luar bandar kita. Kita ingin pastikan bahawa usaha pembangunan itu adil. Dirakyatkan. Disebarluaskan. Merentasi bandar dan luar bandar.

“Kita harap Pengerang nanti menjadi satu kawasan yang penduduknya, bukan sahaja berpeluang menikmati alam sekitar yang baik kualitinya, malah baik juga kualiti kehidupan dan pekerjaannya,” katanya pada Majlis Merdeka Raya Dun Tanjung Surat di sini, hari ini.

Beliau berkata, transformasi itu bukan bermakna Pengerang harus menjadi sebuah lagi kawasan urbanisasi besar dan gah seperti Iskandar Malaysia tetapi yang paling utama, limpahan projek itu akan memanfaatkan penduduk setempat dengan sebaik mungkin.

“Jalanrayanya teratur, bekalan air dan apinya berfungsi baik, sekolah dibangunkan prasarananya, khidmat jalur lebar pantas, kelestarian  alam sekitar dipelihara, pemuda dan pemudi desa diberikan kemahiran serta pelbagai lagi.

“Inilah maksud transformasi kawasan luar bandar. Walau geografinya terjarak dari kota raya besar, namun kualiti hidup masyarakatnya setimpal, malah mungkin lebih baik,” katanya.

Mohamed Khaled juga mahu lebih banyak dana bantuan dan insentif ditawarkan melalui program-program pemantapan kemahiran anak-anak tempatan supaya boleh berkhidmat di PIPC.

“Kita tidak mahu lagi alasan ‘kurangnya bakat tempatan’ menjadi sebab kita memilih jalan pintas dengan mengambil tenaga kerja luar.

“Malah, saya cadangkan agar perkara ini kita perkemaskan dengan seterusnya menetapkan pula jumlah siling atau had bagi kadar kemasukan pekerja asing ataupun tenaga luar di Pengerang dan PIPC. Biar bakat-bakat dan anak-anak tempatan dioptimumkan sepenuhnya,” katanya.

Mengenai isu kerosakan rumah di Taman Bayu Damai, beliau berkata, Kerajaan Negeri sedar dan memahami segala kesulitan yang dihadapi penduduk.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri sudah memberi amaran terakhir kepada pemaju untuk menyelesaikan permasalahan itu dalam tempoh masa yang diberi atau Kerajaan Negeri akan melantik kontraktor baru.

“Ada 86 rumah yang senget dan perlu dirobohkan. Kita sudah beri amaran terakhir kepada kontraktor terlibat untuk selesaikan dalam tempoh tertentu atau Kerajaan Negeri berhak melantik kontraktor baharu,” katanya.

Pada majlis itu, beliau juga menyerahkan geran tanah pertanian kepada 108 penduduk yang mempunyai tanah pertanian di kampung asal dan terkesan dengan projek pembangunan itu.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial