Segamat Dicadang Destinasi Pesta Durian Antarabangsa

Mohamed Khaled (kiri depan) melancarkan logo bagi mempromosikan pelancongan daerah Segamat.

SEGAMAT, 21 Mac – Kerajaan Negeri mahu daerah Segamat menjadi destinasi penganjuran Pesta Durian Peringkat Antarabangsa kerana daerah itu amat sinonim dalam penghasilan raja buah itu.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran pesta itu bukan sahaja dapat mempromosi daerah Segamat dan menarik lebih ramai pelancong, tetapi pada masa sama dapat membuktikan bahawa durian dari daerah itu adalah antara yang terbaik di negara ini.

Beliau berkata, penganjuran pesta itu boleh dilakukan pada setiap tahun dengan menghimpunkan pelbagai jenis durian dan produk berasaskan durian dari seluruh negeri dan negara yang menghasilkan buah itu.

“Saya amat menyokong (penganjuran pesta) dan saya ucapkan tahniah kepada Pegawai Daerah dan pemimpin tempatan untuk melaksanakan perkara itu. Usaha ini boleh memperkenalkan lagi daerah Segamat dan produk durian tempatan, selain menunjukkan keyakinan bahawa durian Segamat adalah antara yang terbaik.

“Penganjuran pesta itu juga boleh dilaksanakan seumpama pertandingan layang-layang. Kita boleh panggil semua pengeluar durian seperti dari Raub, Balik Pulau, Thailand, Indonesia dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja seharinya ke kawasan Parlimen Sekijang, di sini semalam.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial