Kerajaan Negeri Pantau Kerja Tambak Laut

NUSAJAYA: Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau kerja-kerja penambakan laut supaya aktiviti ini tidak memberi kesan kepada ekosistem dan alam sekitar.

Menteri Besar, Dato' Mohamed Khaled Nordin, berkata kerja-kerja pemantauan ini akan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Katanya, komitmen yang diberikan oleh kerajaan ini penting supaya kualiti alam sekitar terpelihara walaupun pembagunan sedang giat dijalankan.

"Projek yang berkaitan penambakan laut ini akan dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar dan langkah-langkah kawalan turut disediakan bagi kerja-kerja tambakan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Dewan Negeri  ketika menjawab soalan tambahan daripada Cheo Yee How (DAP-Pengkalan Rinting) berkenaan langkah daripada pihak kerajaan untuk mengatasi masalah penambakan laut di Mukim Tanjung Kupang.

Jelas Khaled, kerja-kerja penambakan laut yang kurang daripada 50 hektar, ianya tidak tertakluk kepada laporan Kualiti Alam Sekitar (EIA) terperinci.

Walaubagaimanapun, katanya fasa pertama pembagunan forest city ini perlu menyediakan satu laporan EIA Awalan walaupun ianya hanya melibatkan penambakan pasir seluas 49.3 hektar.

"Bagi pembangunan fasa pertama ini, pihak pemaju perlu menyediakan laporan EIA kerana komponen pembangunan bagi projek ini adalah sebuah hotel yang melebihi 80 bilik sebagaimana ditetapkan oleh Seksyen 34 (a)(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2012)," katanya.

Projek forest city merupakan sebuah projek Pembangunan Perdagangan Bercampur berkeluasan kira-kira 5,171 ekar dan dibangunkan secara berfasa.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial