Kerajaan Negeri Pertimbang Cadangan Buka Semula Hutan Lipur Gunung Pulai

1

KULAIJAYA: Kerajaan Negeri kini dalam proses mempertimbangkan cadangan untuk  membuka semula Hutan Lipur Gunung Pulai 1 kepada orang untuk menghidupkan kembali kawasan tarikan pelancong itu. 

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin,  berkata Jabatan Perhutanan telah diarahkan membuat laporan dan kajian menyeluruh mengenai kawasan hutan lipur berkenaan.

"Kajian itu akan melihat kalau dibuka, sejauh manakah kita dapat meminimumkan risiko atau meningkatkan keselamatan pengunjung dan penduduk yang tinggal di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengahari bersama Penduduk Kampung Sri Gunung Pulai 1 sempena Lawatan Kerja ke Kulaijaya, di sini semalam.

Hutan lipur itu ditutup sejak 2001 atas nasihat dan kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Johor) selepas peristiwa banjir lumpur pada tahun yang sama, yang menyebabkan struktur tanah menjadi kurang stabil.

Tragedi banjir lumpur itu mengorbankan lima nyawa dan menghanyutkan empat buah rumah di Kampung Seri Gunung Pulai, di kaki Gunung Pulai. 

Dalam ucapannya itu, Khaled berkata Kerajaan Negeri telah mengenalpasti dua sektor baru iaitu kesihatan dan pemprosesan makanan yang berpotensi untuk dibangunkan di daerah itu.

“Melalui Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor ini, kerajaan ingin lihat sejauh mana potensi penduduk dimanfaatkan untuk meningkatkan kemajuan di daerah masing-masing,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga meminta Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) mengambilkira pembangunan daerah Kulaijaya untuk dimasukkan ke dalam Pelan Pembangunan Komprehensif kedua Wilayah Iskandar yang kini dalam peringkat kajian.

“Kajian ini bertujuan melihat sejauh mana pembangunan yang dibawa ke daerah ini memberi kesan kepada ekonomi sosial penduduk setempat.

“Melalui kajian itu kita boleh merancang pembangunan yang sesuai dan melibatkan pembabitan pembangunan masyarakat di Kulaijaya,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial