Kerajaan Negeri Salur RM30 Juta Selenggara Jalan Felda

KLUANG, 15 Julai – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi tujuan penyelenggaraan jalan-jalan di kawasan Felda negeri Johor.

Perkara itu diumumkan ekoran persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, pada bulan lalu agar jalan-jalan raya di kawasan Felda yang berhak milik dimasukkan di bawah Skim Penyelenggaraan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Sebagai tanda syukur atas keputusan itu, Kerajaan Negeri Johor bersetuju menyalurkan peruntukan ini bagi menyelenggara jalan-jalan dalam kawasan Felda di seluruh negeri Johor.

“Ini kerana kalau tidak kerana keputusan Dato’ Sri Najib, tak mungkin peruntukan ini boleh disalurkan. Jadi terima kasih Dato’ Sri,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia di Sembrong, malam tadi yang disempurnakan oleh Mohd Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Antara kenamaan yang hadir pada majlis itu yang turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz.

Mohamed Khaled menyerahkan replika cek peruntukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, sambil disaksikan Mohd Najib.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled turut menegaskan kepentingan hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan kerajaan pusat dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat.

“Ia adalah satu simbiosis yang telah lama terjalin dan membuahkan begitu banyak kebaikan untuk rakyat negeri Johor khususnya, dan hubungan inilah yang mesti terus diperkukuh dan dipertahankan.

“Saya mewakili Kerajaan Johor ingin menyatakan kesungguhan kami untuk terus mengeratkan silaturrahim dan hubungan dengan kerajaan Pusat sebagai sebuah keluarga yang besar,” kata beliau.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial