Kerajaan Negeri Saran Koperasi Ceburi Perniagaan Berimpak Tinggi

image

 

PONTIAN, 4 Jun – Kerajaan Negeri Johor menyarankan badan koperasi menceburi bidang-bidang perniagaan berimpak tinggi agar sektor perniagaan tersebut dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata ahli koperasi perlu sedar bahawa pasaran ekonomi negeri Johor tidak tertumpu kepada industri dalaman sahaja malah telah menjadi salah satu kuasa ekonomi yang penting di peringkat antarabangsa.

“Kita mempunyai harapan yang tinggi dalam bidang koperasi, dan untuk itu saya menyarankan agar koperasi menceburi bidang-bidang yang berimpak tinggi, selain mengambil peluang menjalankan dasar-dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

“Ekonomi di Johor sudah semakin global dan kita tidak seharusnya lagi berniaga secara kampung tanpa mengambilkira perubahan yang sedang berlaku di sekeliling kita. Kita perlu menggerakkan koperasi kerana ia merupakan entiti yang dapat membantu rakyat kita”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) Berhad kali ke-21 di Kukup Golf Resort, Pontian, hari ini.

Tambahnya Kerajaan Negeri yakin sektor tersebut mampu membawa perubahan yang besar dalam ekonomi negeri.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri sentiasa menjalankan pendekatan secara koperasi dalam menyelesaikan permasaalahan rakyat.

“Kehadiran Kedai Harga Patut Muafakat Johor (imCoop) misalnya, kita tubuhkan dalam menyelesaikan isu rakyat yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Hari ini Kerajaan Pusat mahukan bantuan, sokongan dan panduan berkaitan imCoop agar ia dapat diperluas ke seluruh negara.

“Kita juga menjalankan Program Kawan Iskandar Malaysia yang merupakan strategi Pembangunan Sosial Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk memastikan semua rakyat menikmati dan mengambil bahagian dalam pembangunan pesat di wilayah ekonomi ini dengan syarat seperti penubuhan koperasi, penyediaan rancangan perniagaan, serta kesediaan dan kerjasama para penduduk dalam melaksanakan projek tersebut,” katanya.

Antara bidang perniagaan berimpak tinggi adalah perkhidmatan kewangan, pelancongan, kesihatan dan penjagaan diri, pertanian dan asas tani, pemborongan dan peruncitan, perladangan, telekomunikasi, teknologi dan inovasi serta sektor hartanah.

Mesyuarat ini selaras dengan sambutan ulangtahun ke-50 penubuhan KPMNJ yang ditubuhkan pada Mac 1966 dengan matlamat meningkatkan kepentingan ekonomi setiap ahli lembaga koperasi.

Turut hadir, Pengerusi KPMNJ, Datuk Mohamad Ali Hasan, Pegawai Daerah Pontian, Kamaruddin Abdullah serta lebih 200 ahli KPMNJ.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial