Kerajaan Negeri Sedia Beli Semula Tanah Milik Penduduk

KOTA TINGGI: Kerajaan Negeri bersedia membeli semula tanah yang ingin dijual oleh penduduk di Johor dengan harga yang lebih sesuai.

Menteri Besar, Dato Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah yang dibuat oleh Kerajaan Negeri ini adalah untuk memastikan tanah yang dikurniakan kepada penduduk berkenaan tidak berpindah hak milik ke pihak lain.

Selain itu, katanya  Kerajaan Negeri juga tidak akan memberikan kebenaran kepada pemilik tanah, terutamanya di Pengerang untuk menjual tanah milik mereka, berikutan peningkatan harga tanah yang tinggi pada masa kini.

“Tindakan tegas itu dilaksanakan berikutan kecenderungan segelintir penduduk yang bertindak untuk menjual tanah mereka selepas nilainya semakin meningkat berikutan pelbagai projek pembangunan di kawasan terbabit.

 "Dulu, tanah terbabit adalah tanah kerajaan, namun ia dikurniakan kepada penduduk untuk mengusahakannya.  Difahamkan terdapat kes penduduk mahu menjualnya dan kita tidak mahu ia dijual khususnya kepada warga asing.

 "Justeru itu, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak memberi kebenaran untuk menjualnya (tanah). Jika mahu menjualnya, penduduk boleh berbincang dengan kerajaan dan kita boleh membelinya pada harga sesuai," katanya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah dan Pendaftaran Rumah Mampu Milik Taman Penawar Harmoni, Bandar Penawar di sini, semalam.

Sementara itu, pada sidang media sama, beliau turut memberitahu Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan inisiatif untuk mewujudkan skim sewa beli perumahan bagi membantu rakyat di negeri ini membeli rumah sendiri pada masa depan.

"Kita sedia maklum, terdapat rakyat di negeri berdepan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan dan akhirnya mereka gagal membeli rumah.

 "Skim sewa beli ini akan dikawal selia oleh kerajaan Johor  menerusi unit perumahan dan tertumpu kepada projek perumahan mampu milik yang dilaksanakan kerajaan negeri.

“Selain itu, agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) juga boleh memainkan peranan bukan sahaja membina rumah mampu milik, tetapi juga membantu penduduk membelinya menerusi skim sewa beli in," katanya.

 Katanya lagi,  insiatif terbabit masih pada peringkat kajian bagi mengenal pasti terlebih dahulu siapakah dan berapakah jumlah yang layak untuk mendapat kemudahan terbabit.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial