Kerajaan Negeri terus komited bina lebih banyak rumah mampu milik

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memastikan lebih banyak rumah mampu milik dibina di negeri ini.

Komitmen yang disuarakan oleh Menteri Besar, Dato' Mohamed Khaled Nordin itu kerana Kerajaan Negeri sedar akan hakikat bahawa harga rumah semakin meningkat kebelakangan ini ekoran permintaan yang tinggi dalam sektor hartanah di negeri ini.

Mohamed Khaled berkata, peningkatan harga rumah di kawasan Iskandar Malaysia sehingga 157% itu menjadikan ramai rakyat tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Ujar beliau, Kerajaan Negeri bakal mendirikan 31,000 unit rumah mampu milik di Johor Bahru khususnya di Iskandar Malaysia dengan harga RM80,000 ke bawah.

Jumlah berkenaan adalah daripada 37,000 unit rumah mampu milik yang akan dibina diseluruh Johor menjelang tahun 2018.

“Kita sedia maklum harga rumah semakin meningkat terutamanya di Iskandar Malaysia. Kita sudah menjalankan kajian dan didapati harga rumah kian melonjak daripada 12.7% kepada 154%.

“Justeru itu, kerajaan sedang meningkatkan usaha untuk menyediakan rumah mampu milik dan mensasarkan untul membina lebih 37,000 unit rumah mampu milik menjelang 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Kampung Sungai Danga di sini.

Dalam ucapannya itu juga, beliau berkata  Kerajaan Negeri bakal menetapkan syarat kepada pembeli rumah mampu milik iaitu rumah berkenaan tidak boleh  menjual rumah mampu milik berkenaan  dalam tempoh lima tahun.

Katanya, syarat itu akan dilaksanakan untuk menyekat pembeli rumah mampu milik daripada sewenang-wenangnya mengaut keuntungan dengan menjual rumah mereka kepada orang lain pada harga yang lebih tinggi.

"Kerajaan Negeri telah meletakkan satu jumlah subsidi yang besar kepada setiap rumah mampu milik yang dibina di negeri ini dan kita tidak mahu ia akhirnya dimanipulasi," jelasnya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial