Kerajaan Negeri Tubuh Jawatankuasa Khas Atasi Masalah Banjir di Johor

Mohamed Khaled menerima plak peringatan Dewan Raya Kampung Kurnia daripada jawatankuasa kampung. RM2 juta disalurkan untuk pembinaan dewan itu yang telah uzur.
Mohamed Khaled menerima plak peringatan Dewan Raya Kampung Kurnia daripada jawatankuasa kampung. RM2 juta disalurkan untuk pembinaan dewan itu yang telah uzur.

JOHOR BAHRU, 3 Jan – Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengenalpasti punca dan langkah untuk mengatasi masalah banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di daerah Johor Bahru.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata jawatankuasa khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru.

“Jika ia berlaku di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, maka mereka yang harus ambil peranan itu, dan jika ianya melibatkan Kerajaan Negeri, kita akan beri pertimbangan terhadap perkara tersebut.

“Fenomena hujan lebat yang berlaku di Jalan Wong Ah Fook memang tidak dapat dinafikan, tetapi ia memerlukan kajian secara mendalam daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk mencari puncanya kerana kita tidak mahu perkara seperti ini berulang,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja sehari ke Parlimen Johor Bahru, di Jalan Kemunting, di sini, hari ini.

Lawatan itu dilakukan dengan menaiki Bas Muafakat Johor.

Turut bersama beliau, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, A. Rahim Nin, Pegawai Daerah Johor Bahru, Abdul Halim Hasbullah dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, dalam ucapan sempena lawatan kerja tersebut beliau turut menyentuh mengenai kemajuan kerja yang sedikit perlahan di ketiga-ketiga projek perumahan yang dilaksanakan oleh PIJ Holdings dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

“Ketiga-tiga projek perumahan itu melibatkan dua projek oleh PIJ Holdings di Taman Perbadanan Islam Larkin dan Stulang Baru, serta satu projek oleh KPRJ di Perumahan Komuniti Taman Aman Larkin.

“Kita memberi jaminan bahawa kerja-kerja atas tanah bagi ketiga-tiga projek perumahan itu akan dilaksanakan bermula pada 1 Februari ini,”katanya.

Mengenai lawatan kerja tersebut, beliau berkata, pihaknya amat berpuas hati kerana dapat melihat sendiri kehidupan masyarakat dan menimbang cadangan daripada mereka untuk menterjemahkannya kepada pembangunan bersifat inklusif yang ditekankan oleh kerajaan negeri.

Malah, pembangunan dan kemajuan negeri juga akan dapat dicapai melalui kerjasama dan persefahaman daripada rakyat yang bukan sahaja melibatkan cadangan daripada kerajaan.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial