Kerepek Rengit Kini di Taiwan

Modal RM500 tidak halang bisnes berkembang

Oleh Sofiayana Ellmy Sukor

HANYA dengan bermodalkan RM500 dan memulakan perniagaan di rumah, kini Azhar Food Sdn. Bhd. mampu mengembangkan perniagaannya hingga pasaran di luar negara.

Ibu pejabat Azhar Food terletak di Rengit, Batu Pahat dan mempunyai cawangan di Bandar Baru UDA, Johor Bahru.

Sejajar dengan perkembangan semasa, Azhar Food telah meluaskan perniagaannya dengan menembusi pasaran negara luar seperti Singapura dan Taiwan.

Menurut pemiliknya, Mariam Boon, 47, permintaan terhadap produk keluaran syarikat  semakin meningkat berikutan kepercayaan tinggi pengguna terhadap kerepek yang dihasilkan oleh kilang miliknya.

“Kami memasarkan produk yang sememangnya dihasilkan terus oleh syarikat kami. Jadi rasanya adalah ‘fresh’ berbanding jika kita hanya memasarkan produk yang diambil dari orang tengah.

“Kerana faktor inilah permintaan dari luar negara juga dapat kita tingkatkan dan kami  bercadang untuk memasarkan produk kami ke negara lain,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan yang tinggi dari dalam dan luar negara, Azhar Food yang memiliki 40 kakitangan tetap turut mengusahakan ladang sendiri bagi membekalkan bahan mentah di samping membeli bahan dari pembekal luar.

“Langkah mengusahakan ladang tanaman ini penting bagi memastikan Azhar Food mempunyai bekalan yang cukup untuk penuhi permintaan dari seluruh negara. Antara tanaman yang diusahakan ialah pisang, ubi kayu, sukun dan  keledek.

“Di samping itu, kita mempunyai ‘contract farming’ dengan beberapa pengusaha ladang kerana ada kalanya kami kekurangan bekalan bahan mentah. Kami juga menerima bekalan dari  pembekal luar lain dan ia adalah bergantung kepada permintaan,” katanya.

Minat pengguna kepada sesuatu produk juga adalah bergantung kepada cara pemasaran dan juga pembungkusan produk berkenaan. Di Azhar Food, proses pembungkusan setiap kerepek yang dihasilkan amat dititikberatkan oleh pemilik dan suaminya, Azhar Ranan, 48.

Katanya, pembungkusan setiap produk keluaran mereka bergantung kepada pasaran produk berkenaan.

“Bagi bungkusan yang akan dihantar kepada pemborong, ia akan dibungkus secara borong kerana akan memudahkan urusan jual beli pemborong berkenaan, dan bagi pembungkusan 400 gram ia dilakukan dengan cermat dan pembungkusannya mampu menarik minat pembeli.

Bagi keluaran untuk pasaran luar negara, kami mengeluarkan produk ‘canister’, katanya.

Setelah 14 tahun beroperasi, kini Azhar Food mempunyai 20 produk sendiri dan setiap satu  mempunyai permintaan tinggi daripada pengguna.

“Dari semasa ke semasa, saya akan cuba untuk menambahkan lagi jumlah produk kami. Namun ia adalah berdasarkan permintaan pelanggan. ketika ini, kami masih mampu memenuhi permintaan pelanggan dan kami akan berusaha mengembangkan lagi produk berasaskan kerepek ini ke negara lain,” katanya. 

IMG_0684resize IMG_0669resize IMG_0646resize

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial