Kerjasama Erat Membawa Kebaikan Untuk Rakyat

Mohamed Khaled bersama Razali dan mantan Pegawai Daerah Muar, Ramlee A. Rahman ketika dalam Bas Muafakat Johor sewaktu lawatan ke sekitar Parlimen Muar
Mohamed Khaled bersama Razali dan mantan Pegawai Daerah Muar, Ramlee A. Rahman ketika dalam Bas Muafakat Johor sewaktu lawatan ke sekitar Parlimen Muar

MUAR, 24 Jan – Kerjasama erat antara semua agensi dan jabatan negeri dan persekutuan adalah penyumbang besar kepada penyelesaian banyak isu di kawasan parlimen Muar.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin ketika lawatan kerja seharinya ke kawasan itu memuji kerja-kerja yang dilaksanakan oleh semua pihak dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya percaya pengiktirafan Muar sebagai Bandar Diraja tidak akan disia-siakan oleh semua dan usaha berterusan akan dilakukan agar ia membangun dan maju sesuai dengan tarafnya.

“Saya bersyukur dan senang hati dengan lawatan ke Muar ini kerana memang tiada mana-mana masalah besar yang dihadapi. Tahniah kepada Ahli Parlimen Datuk Razali Ibrahim, Pegawai Daerah dan semua agensi serta jabatan yang terbabit,” kata beliau.

Lebih RM20 juta peruntukan pembangunan disalurkan kepada kawasan Parlimen Muar sempena lawatan kerja beliau kali ini.

Peruntukan itu adalah bagi pelaksanaaan pelbagai projek pembangunan seperti jalan kampung, sekolah agama dan pelbagai projek kecil lain.

Mengikut pecahan, bagi kerja-kerja projek jalan kampung PJK 5 yang akan dilaksanakan pada tahun ini sehingga 2018, sejumlah RM 14.4 diperuntukkan, di mana RM11.7 juta adalah untuk kerja-kerja penyelenggaraan manakala RM2.7 juta untuk kerja-kerja pelebaran jalan-jalan kampung di kawasan parlimen itu.

Kerajaan Negeri juga akan membina dua buah lagi Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) baru di kawasan Parit Keroma Darat dan Parit Jamil dengan kos RM8.2 juta.

Sebelum itu, sejumlah RM10.3 juta sudah diperuntukkan untuk membina empat SAKJ di Parit Raja, Parit Jamil Darat, Sarang Buaya dan Parit Bakar Darat yang kini sudah digunakan untuk sesi persekolahan 2017.

Kerajaan Negeri juga mengumumkan peruntukan RM800,000 untuk pelbagai projek pembangunan kecil di kawasan Parlimen Muar seperti kerja-kerja naiktaraf dan baikpulih kemudahan awam seperti masjid, balairaya, surau dan sebagainya.

Bagi membantu-peniaga-peniaga kecil dan dan usahawan Industri Kecil Sederhana, Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan sejumlah RM500,000 untuk projek pembangunan Laman Oleh-Oleh.

Laman itu akan menempatkan peniaga kecil dan usahawan IKS Muar bagi mempromosi barangan mereka.

“Kerajaan Negeri akan turut memberi peruntukan kepada daerah lain untuk mencari tapak bagi membuat laman yang sama mengikut konsep yang telah dimulakan di Bandar Maharani.

“Kita akan menyalurkan setiap daerah RM500,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM4.5 juta untuk mejayakan projek ini,” katanya.

MB-muar3cover

Selain itu, Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Muar, (MPM) akan melaksanakan projek penempatan semula gerai-gerai peniaga di Dataran Tanjung Emas dan membina restoran makanan segera KFC  dengan kos RM6.3 juta.

Melalui projek ini, Jcorp memperuntukkan RM3.2 juta manakala RM3.1 juta lagi adalah daripada MPM.

Pada lawatan itu, beliau turut merasmikan projek Maharani Uptown bagi kemudahan peniaga-peniaga kecil di kawasan parlimen itu untuk berniaga pada hujung minggu.

Sejumlah RM4.4 juta diperuntukkan untuk projek itu dan ia mampu menampung kira-kira 100 peniaga kecil.

Selain itu, Mohamed Khaled turut berkesempatan meninjau projek pengindahan dan pembersihan Sungai Muar.

Projek itu, yang telah siap sepenuhnya November tahun lalu, membabitkan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM18 juta.

Selain pelbagai peruntukan yang diumumkan itu, lawatan kerja itu berjaya menyelesaikan pelbagai masalah rakyat yang lain seperti pemilikan tanah.

Mengenai tuntutan hak milik tanah Sungai Pulai yang terletak di DUN Sungai Balang, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyelesaikan masalah itu sebelum akhir tahun ini.

“Kita telah buat keputusan, walaupun jumlah permohonan yang dikemukanan lebih ramai daripada jumlah tanah yang ada, Kerajaan Negeri  bersetuju sebelum akhir tahun ini untuk adakan pemilihan untuk menentukan siapa yang dapat hak milik tersebut,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial