Kerjasama Kerajaan & Pemaju Penting Untuk Pembangunan Inklusif

Mohamed Khaled ketika mendengar taklimat projek Meridin East
Mohamed Khaled ketika mendengar taklimat projek Meridin East

PASIR GUDANG, 7 Ogos – Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pemaju perumahan dalam memastikan pembangunan di negeri Johor adalah menyeluruh dan tidak tertumpu di satu-satu kawasan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, penekanan dalam faktor kemapanan dan kesesuaian sesebuah kawasan perumahan untuk didiami perlu dibincangkan antara pemaju dan kerajaan terutamanya yang melibatkan antaranya alam sekitar, harga rumah yang ditawarkan, sistem pengangkutan, dan pelbagai lagi.

“Kita perlu bersama sama dalam membangunkan kawasan perumahan terutamanya yang melibatkan kawasan yang besar supaya setiap kawasan perumahan itu dapat memenuhi kehendak perancangan bandaraya kita, supaya rakyat dapat menikmati segala kemudahan dan manfaat yang diberikan.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian dan Pembukaan Galeri Jualan Projek Perumahan Meridin East, oleh syarikat hartanah Mah Sing Group di Kong Kong, Pasir Gudang, semalam.

Tambahnya, pemaju seperti Mah Sing Group telah banyak membantu Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan untuk memberi kemudahan kepada rakyat.

“Saya juga tekankan bahawa pihak pemaju perlu memberikan perhatian terhadap soal membina Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Pakej A dan Pakej B secara serentak kerana kita mahukan pembangunan di Johor inklusif, dan ini tidak menjadi masalah bagi Mah Sing Group.

Tambahnya, cadangan penyediaan perkhidmatan Teksi Air yang sedang dalam perbincangan dan kajian Kerajaan Pusat, juga akan menjadi pemangkin kepada kehendak perumahan oleh masyarakat.

“Dengan adanya pembinaan Teksi Air antara Kong Kong dan Singapura, tentunya akan lebih ramai yang akan berhijrah ke Johor Bahru Timur, dan pihak pemaju juga merancang untuk memperluaskan jalanraya di kawasan Kong Kong.

“Ia akan menjadi cara pengangkutan alternatif yang diharap dapat mengurangkan aliran trafik di Tambak Johor dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

“Laluan pada ketika ini mengambil masa satu hingga dua jam dari Pasir Gudang untuk sampai ke Singapura, tetapi hanya 20 minit dengan Teksi Air, dari Terminal Kong Kong menuju ke Changi,” jelasnya.

Projek perumahan Meridin East merupakan pembinaan rumah teres dua tingkat berstatus pegangan bebas dengan harga serendah RM357,000 bagi memenuhi permintaan rumah baharu mampu milik di negeri ini.

Dibina di atas tanah dengan keluasan 531 hektar, ia menjadikan projek perumahan ini sebagai pembangunan terbesar yang akan dikendalikan oleh Mah Sing Group.

Projek ini terdiri daripada lima fasa yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 15 tahun, dengan fasa pertama dijangka siap pada suku pertama 2018.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim, Pengerusi Mah Sing Group, Tan Sri Yaacob Mat Zain, dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial