KERJASAMA POLIS DAN MASYARAKAT BANTU KURANGKAN INDEKS JENAYAH DI MUAR

Logo Polis

MUAR – Kerjasama erat antara polis dan masyarakat merupakan kunci kejayaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mencipta kecemerlangan menurunkan indeks jenayah sebanyak 22.69 peratus dan kadar penyelesaian kes di mahkamah sebanyak 59.09 peratus, tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata pencapaian itu antara kejayaan tertinggi di peringkat IPD di negara ini, dan beliau menyifatkannya sebagai kejayaan bersama antara polis dan masyarakat dalam membanteras jenayah.

“Kami menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat kes-kes tertentu,” katanya kepada pemberita, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, Cawangan Jenayah Berat (D9) IPD Muar berjaya menyelesaikan 189 daripada 238 kes membabitkan 392 tangkapan.

“Bagi jenayah melibatkan pertaruhan judi, sebanyak 32 tangkapan dilakukan membabitkan perjudian mesin berkomputer, 134 tangkapan loteri awam haram, bookie (16), judi dalam bangunan (42) dan judi tempat bebas (17),” katanya.

Azman berkata dalam Op Noda yang dilakukan Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) pula, sebanyak 64 pusat hiburan dan 25 premis pelacuran diserbu melibatkan 60 saman dikeluarkan tahun lalu.

“Bagi jenayah narkotik, kami merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai pasaran kira-kira RM2 juta, manakala nilai kenderaan, rampasan harta dan wang tunai terlibat adalah lebih RM900,000,” katanya.

Beliau berharap peranan masyarakat dan komuniti taman-taman perumahan di sekitar daerah itu akan diperkukuh bagi memastikan Muar mencatatkan pengurangan atau sifar indeks jenayah pada masa depan.- BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial