Kesenian Islam Hiburan Masyarakat Johor

Kesenian Islam

Bidang seni muzik dan nyanyian merupakan elemen hiburan yang sering menjadi tumpuan masyarakat sejak sekian lama. Melalui seni ini, masyarakat dapat menterjemahkan rasa dan kehendak mereka.

Namun begitu, adakah masyarakat sedar bahawa hiburan yang dinikmati itu tidak seharusnya melalai mereka?

Masyarakat terutama yang beragama Islam harus melihat semula adab dan etika dalam menikmati hiburan yang disuguhkan pada masa ini. Seni dan hiburan bukanlah musuh bagi Islam sebaliknya ia adalah sebahagian daripada pengisian kehidupan Muslim yang perlu dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan sesama manusia dengan penciptaNya.

Menyedari kepentingan kesenian ini, Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor mengambil langkah untuk memartabatkan lagi bidang kesenian ini mengikut cara Islam.

Sebagai permulaan kepada usaha memartabatkan kesenian Islam ini, beberapa jurulatih di peringkat daerah telah dilantik.

Jurulatih ini berperanan sebagai tenaga pengajar kepada masyarakat untuk mengajar cara atau seni taranum Al-Quran dan juga berzanji di samping mengadakan kursus yang sama di peringkat mukim, daerah mahupun negeri.

Pelantikan jurulatih itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Dato’ Zulkurnain Kamisan, adalah penting untuk memantapkan lagi kesenian Islam yang sedia ada dalam masyarakat Johor hari ini.

Katanya, jurulatih yang dilantik itu akan menjadi mentor kepada mentee yang dipilih daripada setiap kursus yang telah dijalankan.

“Tujuan utama kita melantik mentor ini adalah untuk mengembangkan lagi bakat yang ada di kalangan masyarakat dan dapat melahirkan lebih ramai qari dan qariah berbakat,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga menggalakkan golongan muda untuk mengadakan persembahan teater bercirikan Islam dan menganjurkan Malam Kesenian Islam yang kian mendapat sambutan penonton.

Beliau berkata, penumpuan untuk memartabatkan kesenian Islam ini turut meliputi bidang muzik. Kesenian dalam bentuk muzik juga akan diteruskan tetapi ianya perlu diterapkan dengan unsur Islam khususnya kepada muzik keroncong serta ghazal.

“Ini penting kerana ia dapat menjelaskan kepada masyarakat bahawa kesenian Islam tidak terhad kepada bentuk nyanyian nasyid sahaja sebaliknya ia mempunyai skop lebih luas asalkan tidak bertentangan dengan syariat Islam,” katanya.

Dengan pelbagai program yang telah dirancang dan dilaksanakan, ia diharap terus dapat menyubur dan mengembangkan kesenian Islam sebagai medium rakyat Johor untuk menikmati hiburan yang beretika dan tidak melalaikan.

“Objektif kesenian dalam Islam adalah untuk memenuhi tuntutan fitrah manusia, mengembangkan bakat dalam diri ke arah kesejahteraan ummah, meningkatkan keimanan kepada Allah, merapatkan hubungan sesama manusia dengan Pencipta, memberi kesedaran dan pendekatan taubat,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial