Kesenjangan Ekonomi Mampu Cetus Polarisasi Kaum

mb-ucapan-bajet-2

KOTA ISKANDAR, 17 Nov – Kesenjangan ekonomi yang melebar akan mencetuskan polarisasi kaum dan menimbulkan pelbagai implikasi negatif kepada pembangunan Bangsa Johor.

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai inisiatif sebagai usaha merapat jurang ekonomi di kalangan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keempat tertinggi di Malaysia, namun kadar kesenjangannya semakin mengecil.

Ini dibuktikan dengan bacaan Pekali Gini Johor yang kedua terendah di Malaysia, iaitu pada paras 0.324 pada tahun 2014.

“Kesenjangan ekonomi akan mencetuskan polarisasi kaum dan kesulitan kepada semua.

“Johor tidak boleh menjadi negeri yang kesenjangan di antara mereka yang kaya dan golongan menengah serta rendah semakin melebar,” katanya.

Beliau berkata pelbagai inisiatif akan diteruskan bagi memperbaiki isu tersebut.

Ini termasuk memperkenalkan pelbagai program peningkatan keupayaan dan kesejahteraan untuk golongan minoriti dan berisiko terpinggir.

Katanya, pelan induk dan rangka kerja Pembangunan Sosial Iskandar Malaysia sebagai contoh, akan merangkumi projek keterangkuman sosial untuk tujuh golongan – Orang Asli, kaum India berpendapatan rendah, nelayan, ibu tunggal, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), anak-anak yatim dan warga emas.

“Sebanyak RM4 juta daripada Kumpulan Wang Projek Sosial (Social Projects Fund) Iskandar Malaysia diperuntukkan untuk perlaksanaan program itu tahun depan.

“Program itu akan memberi fokus kepada usaha mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat dan peruntukan dalam bentuk geran untuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terpilih untuk membantu golongan sasar,” tambahnya.

Turut akan diperkenalkan, Program Pembangunan Usahawan Hiliran Minyak dan Gas (PPUHM), bertujuan memastikan limpahan pembangunan di kawasan Pengerang turut dinikmati oleh penduduk sekitarnya.

“Ia akan memfokuskan peluang perniagaan khusus dalam bidang pengurusan kem pekerja, meliputi penyediaan makanan, penyelenggaraan asrama pekerja dan perkhidmatan sokongan.

“PPUHM mensasarkan penubuhan 29 syarikat mantee dalam 15 kluster perniagaan dan menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan di Pengerang,” katanya.

Beliau berkata, bagi merealisasikan pelan induk pembangunan kontraktor melalui peningkatan keupayaan, peningkatan peluang dan peningkatan persekitaran industri, kerajaan negeri turut akan mewujudkan Pusat Pembangunan Kapasiti Kontraktor.

“Sebanyak RM 2.575 juta diperuntukkan oleh KPRJ sebagai menunaikan tanggungjawab korporat sosialnya dalam industri pembinaan.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial