KESIHATAN SHARIF SEMAKIN POSITIF

image

JOHOR BAHRU – Keadaan kesihatan seekor singa jantan dikenali sebagai Sharif di Zoo Johor, di sini  menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani proses rawatan dan kuarantin sejak seminggu lalu.

Gambar Sharif sebelum ini menjadi viral di media sosial sehingga menjadi perhatian ramai pihak termasuk Puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim yang menitahkan supaya singa berumur 18 tahun itu diberi rawatan dan perhatian sewajarnya.

Pengurus Zoo Johor, Zakaria Razali berkata, singa jantan yang diambil dari Yugoslavia itu mengalami masalah kuku mencengkam di bahagian kaki belakang disebabkan tidak lagi aktif akibat faktor usia.

“Sharif telah diasingkan daripada singa lain supaya memudahkan proses rawatan dijalankan termasuk masalah kuku mencengkam juga telah dipotong.

“Walaupun Sharif menunjukkan perkembangan kesihatan positif, ia masih dikuarantin memandangkan proses penyembuhan mengambil  juga mengambil masa antara dua hingga tiga minggu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media  pada ‘Zoo Enrichment Programme’ anjuran Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (Irda) di Zoo Johor , di sini, semalam.

Lebih 100 sukarelawan itu terlibat menjalankan aktiviti antaranya membersihkan sangkar penempatan beruang matahari dan melukis mural.

Hadir sama adalah, Ketua Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim.

Menurut Zakaria, jumlah keseluruhan singa di zoo berkenaan adalah 13 ekor membabitkan tiga jantan termasuk Sharif yang dijadikan sebagai baka haiwan itu.

Beliau memaklumkan, singa jantan itu juga melalui diet yang ditetapkan oleh pihak zoo iaitu bagi memastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik dan tidak terlalu obesiti.

"Sharif makan antara empat hingga lima kilogram daging setiap hari," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, program berkenaan adalah satu permulaan dijalankan oleh Irda bagi meningkat kesedaran orang ramai khususnya aspek pemeliharaan haiwan di zoo berkenaan.

“Kita berharap langkah ini dapat  menarik minat lebih ramai pihak termasuk korporat dan swasta untuk sama-sama memastikan program seperti ini dapat dijalankan secara berterusan.

“Bagi Irda sendiri bantuan kepada pihak zoo bukan sahaja dalam aspek kewangan tetapi meliputi sumbangan in-kind seperti idea dan tenaga,”katanya. – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial