Kewangan Johor Catat Lebihan Lagi

1618661_263848043778514_901468618_n

KOTA ISKANDAR: Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri terus kukuh apabila merekodkan lebihan  semasa dalam akaun hasil yang disatukan tahun ini berjumlah lebih RM400 juta.

Menteri Besar, Dato’  Mohamed Khaled Nordin berkata, Kerajaan Negeri menerima hasil berjumlah RM1,319.45 juta sementara perbelanjaan mengurus adalah RM899.23 juta.

"Prestasi kewangan kerajaan negeri setakat 10 November 2014, menunjukkan bahawa kutipan hasil negeri adalah RM1,319.45 juta manakala kita buat anggaran bajet 2014, kita menganggarkan hasil kita  sebanyak RM1,064.59 juta.

"Kita menjangkakan kutipan menjelang akhir tahun, hasil kita boleh meningkat kepada lebih kurang berjumlah RM1.5 bilion dengan lebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (DAP-Mengkibol) pada Mesyuarat Kedua (Bajet 2015) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-13 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dalam hujahnya itu, Mohamed Khaled sempat menempelak wakil rakyat pembangkang berkenaan rizab Kerajaan Negeri yang tinggi.

“Beralih kepada soal rizab, rizab yang banyak, sudah tentulah akan meningkatkan lagi keinginan Yang Berhormat (pembangkang) untuk mengambil alih kerajaan negeri,” katanya.

Mengenai pembayaran balik hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan, Mohamed Khaled berkata, tindakan telah diambil untuk memastikan hutang Kerajaan Negeri berkurangan sehingga 50 peratus.

“Menjelang hujung tahun ini, Kerajaan Negeri mensasarkan tidak ada sebarang tunggakan pembayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan dan semua pinjaman akan dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah dipersetujui bersama Kementerian Kewangan,” jelasnya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial