KHAIRY INGATKAN FAM KESIHATAN LEBIH UTAMA

photo_2015-09-29_16-31-52PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengingatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa kesihatan pemain dan penonton perlu diutamakan berbanding menyelesaikan jadual perlawanan dalam keadaan cuaca berjerebu ketika ini.

Oleh itu, beliau berharap FAM mengambil langkah lebih proaktif dalam keadaan cuaca tidak sihat ketika ini dengan sentiasa memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan menunda perlawanan sekiranya bacaan IPU mencapai tahap berbahaya.

Beliau menegaskan FAM sepatutnya mengikut saranan ditetapkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) berkaitan jerebu.

“Pihak ISN telah menetapkan IPU yang baik dan tidak baik untuk menjalankan aktiviti sukan di luar yang harus diikuti kerana semua ini dibuat oleh pakar-pakar.

“Kesihatan penonton dan pemain adalah lebih penting daripada menepati jadual kerana kalau membawa risiko kepada peserta dan penonton, boleh dianggap sebagai tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya, di sini semalam selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia yang bakal beraksi dalam Sukan Orang Pekak Asia Pasifik.

Pada Sabtu lalu, Perlawanan Piala Malaysia antara Selangor dengan Felda United tetap dilangsungkan walaupun udara di Stadium Shah Alam jelas berada pada tahap tidak sihat.

Kedua-dua jurulatih pasukan Selangor dan Felda United turut me­rungut dan berpendapat perlawanan itu sewajarnya ditunda kerana boleh menjejaskan kesihatan pemain.

Bagaimanapun, perlawanan tetap diteruskan dengan alasan IPU tidak berada di tahap bahaya iaitu masih belum mencecah 150.

Dalam pada itu, pihak ISN telah mengesyorkan beberapa panduan mudah untuk atlet dan jurulatih menjalani aktiviti di luar ketika berlakunya pencemaran udara, antaranya melarang atlet daripada menjalani latihan apabila bacaan IPU melebihi 100.

Malah ISN turut menyarankan kepada mana-mana persatuan sukan kebangsaan atau penganjur kejohanan agar menunda sebarang aktiviti fizikal di kawasan terbuka untuk memastikan keselamatan dan tahap kesihatan atlet dan penonton terjamin jika bacaan IPU melepasi 100.
 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial