KHAIRY JAMALUDDIN YAKIN CHONG WEI EMAS OLIMPIK 2016

image

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin Datuk Lee Chong Wei masih boleh menjadi sandaran utama bagi misi membawa pulang pingat emas pertama negara Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun depan.

Meskipun jaguh badminton negara itu gagal meraih gelaran juara dunia, satu-satunya kejohanan yang belum dimenangi sepanjang penyertaan di kejohanan itu, namun Khairy tidak pernah meragui kemampuan Chong Wei  untuk menyumbang pingat pada Sukan Olimpik.

Bagaimanapun katanya, persediaan awal dan rapi perlu dijalankan segera bagi memastikan Chong Wei berada pada tahap terbaik untuk menghadapi saingan terutama daripada dua pesaing dari China iaitu Chen Long dan Lin Dan.

"Saya tidak hilang harapan terhadap Chong Wei. Beliau masih yang terbaik bagi meraih pingat emas perseorangan. Tapi kita kena bagi dia persediaan  secukupnya bagi Olimpik. 

Sekurang-kurangnya dia berada pada prestasi terbaik semasa Sukan Olimpik,” katanya pada sidang media bersama rakan korporat Hari Sukan Negara (HSN), semalam.

Pada aksi Final Kejohanan Dunia di Jakarta, Chong Wei tewas kepada jaguh China, Chen Long 14-21 dan 17-21 di Istora Senayan, kelmarin.

Sementara itu, Khairy berkata, rundingan sedang dijalankan dengan bapa Zulfadli Zulkiffli yang juga jurulatih pemain profesional berkenaan untuk membolehkan beliau menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, bekas juara remaja dunia itu berpotensi menggantikan Chong Wei selepas melakukan kejutan layak ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia.

Pencapaian terbaik skuad badminton negara di Sukan Olimpik adalah meraih dua pingat perak dan dua gangsa sejak ia mula dipertandingkan secara rasmi pada temasya 1992 di Barcelona – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial