Khairy Jumpa TMJ, Bincang Halatuju Sukan Bola Sepak Dan Program Belia

2804_TMJKhairy
Foto: FB Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR, 28 April — Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengadakan perjumpaan dengan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) di Johor Bahru, semalam.

Baginda menerusi laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers menjelaskan perjumpaan berkenaan antara lain membincangkan halatuju, berkongsi pendapat selain mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki kemerosotan bola sepak negara selain program yang melibatkan belia.

Perjumpaan berkenaan, tegas Tunku Ismail, turut membolehkan Khairy mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan sukan bola sepak terutamanya projek JDT serta program-program belia yang diharapkan baginda dapat dijalankan di negeri berkenaan.

Terdahulu, Khairy dibawa Tunku Ismail yang juga Pemangku Raja Johor, melawat fasiliti dan kemudahan yang dimiliki JDT seperti pusat latihan, gimnasium serta padang tertutup di Padang Seri Gelam, Johor Bahru.

Media sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Tunku Ismail mencabar Khairy, wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) B. Satianathan dan Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Lim Teong Kim untuk mengadakan debat terbuka.

Ia susulan kemerosotan prestasi skuad bola sepak kebangsaan yang jatuh merudum ke tangga 174 dunia dalam ranking FIFA, kedudukan terburuk sejak ranking berkenaan diperkenalkan pada Dis 1992.

Khairy kemudiannya dilaporkan bersetuju untuk mengadakan debat berkenaan walaupun Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin meminta ia dijalankan menerusi perbincangan tertutup. — BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial