KIBARKAN JALUR GEMILANG DENGAN RASA MEGAH – KHALED NORDIN

11913249_10153289730893173_1166101911045027104_n

MERSING – Jalur Gemilang, bendera rasmi Malaysia, bukanlah sekadar dikibar dengan perasaan kosong, tetapi ia harus dikibarkan dengan rasa bangga dan cinta pada negara, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin.

Malahan, beliau berkata, nilai patriotisme yang dicapai ketika mengibarnya, juga sebagai tanda simbolik mengenang ribuan perwira negara yang terkorban dalam usaha memastikan Malaysia merdeka daripada penjajah, serta kekal dihormati dengan kedaulatan yang dimiliki.

"Kerana Jalur Gemilang itu bukan hanya satu kain yang dikibar-kibar kosong. Ia adalah simbol paling penting negara kita. Ia adalah 'jiwa nurani' Malaysia. Tanpanya, apalah makna kehidupan bernegara.

"Tiada simbol lain yang sepenting, seutama dan sehebat Jalur Gemilang … (kerana) disebut sahaja nama negara Malaysia, yang pasti terlintas di fikiran semua ialah bendera negara kita Jalur Gemilang," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Johor 2015 di Stadium Mersing, Johor baru-baru ini.

Justeru, kata Khaled, mengibar bendera keramat itu, bukanlah sekadar ketika meraikan pesta kemerdekaan, tetapi juga sebagai tanda rakyat Malaysia sentiasa mengenang tanah air tempat kelahiran mereka.   

Berucap lanjut, Khaled berkata, Jalur Gemilang mempunyai peranan tersendiri dalam hal-hal pentadbiran dan urusan rasmi negara.

"Bila negara meraikan kejayaan besar, menawan puncak tertinggi dunia, meneroka ruang angkasa, mencipta sejarah dalam bidang pendidikan atau sains dan teknologi, maka Jalur Gemilanglah yang kita usung dan kibarkan dengan megah.

"Bila pemimpin kita melawat sebuah negara lain, Jalur Gemilanglah yang akan dikibarkan di seluruh bandar raya yang dilawati. Sebagai gambaran rasa hormat negara tersebut menyambut pemimpin kita.

"Bila negara ditimpa musibah bencana dan kedukaan, Jalur Gemilanglah yang kita kibarkan separuh tiang, sebagai tanda bangsa dan negara berdukacita," katanya.

Malahan, kata Khaled lagi, di kala gugur dan kembalinya pahlawan, satria, negarawan, dan 'bapa' bangsa, Jalur Gemilanglah yang membaluti kerandanya, seterusnya dihadiahkan kepada keluarga sebagai tanda penghargaan kepada jasa bakti yang dicurahkan.    

Khaled berkata, jika ada yang masih bertanya mengapa kerajaan selalu menekankan kepentingan bendera rasmi, beliau berkata jawapannya mudah, iaitu Jalur Gemilang itulah lambang patriotisme kepada bangsa, agama dan negara.

"Kerana patriotisme ini lah negara Malaysia merdeka. Kerana patriotisme ini lah ratusan ribu perajurit kita setia dan bersedia mengorbankan nyawa.

"Demi semata-mata memagar negara ini. Baik di sempadan, baik di lautan, baik di ruang udara .. hanya ingin memastikan negara ini tidak diceroboh serta tidak diancam musuh," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata tugas mengibar Jalur Gemilang adalah satu amanah dan tanggungjawab bagi rakyat yang tidak perlu bersabung nyawa di perbatasan, bagi sama-sama memastikan patriotisme itu disemarakkan. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial