Kilang Bateri – Jiwa Johor Bahru

mb-pm-bateri-7
Yusri Bachok bersama pengasas Kilang Bateri menyerahkan cenderamata kepada Dato’ Seri Najib sambil diperhatikan oleh Dato Mohamed Khaled Nordin dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika lawatan kerja dua hari ke negeri Johor baru-baru ini turut meluangkan masa untuk melawat Kilang Bateri di Tampoi.

Beliau memuji kejayaan yang telah dilakar oleh tempat perniagaan yang berasaskan konsep-konsep ekonomi merdeka atau “indienomics” dalam tempoh kewujudannya yang singkat.

“Konsep Bateri ini suatu yang sangat inovatif, di mana tenaga dan kreativiti anak muda kita dapat melahirkan satu pusat perniagaan yang cukup menarik dan hari ini diiktiraf sebagai ‘the soul of Johor Bahru’.

“Saya dapat menyaksikan sendiri kehebatan tempat ini dan saya tertarik hati dengan jenama tempatan sini yang dibuat oleh anak-anak muda kita dan boleh dipasarkan kepada orang ramai sebagai satu tempat yang mana, seperti saya diberitahu, jika belum lawat Bateri, belum lawat Johor Bahru lagi. Ini satu pengiktirafan yang cukup baik, “ ujar beliau.

Beliau menghabiskan kira-kira dua jam meninjau sekitar Kilang Bateri, dan turut menonton persembahan ‘flash mob’ berkonsep zapin di perkarangan luar pusat perniagaan itu.

Satu sesi taklimat ringkas turut diadakan oleh salah seorang pengasas Kilang Bateri, Johan Ariffin Md Ropi, bagi menerangkan aplikasi konsep-konsep “indienomics” yang menjadi resipi kejayaan ‘Hipster Mall’ itu.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Mohd Najib turut mengadakan perjumpaan santai bersama beberapa usahawan muda negeri Johor dan gembira dengan cadangan bernas yang diterima untuk diteliti dan dipertimbangkan.

“Saya turut menerima beberapa idea bernas mengenai penggunaan “crowd-funding” dan “crowd-sourcing” bagi tujuan dana, bukan sahaja untuk memulakan perniagaan seperti start-ups, tetapi juga dalam bidang pengajian di peringkat tinggi.

“Ada juga yang mengisahkan kepada saya bagaimana mereka bermula secara kecil-kecilan berniaga online sehingga hari ini mempunyai kedai sendiri yang terkenal. Banyak jenama tempatan hari ini yang telah maju dan berjaya, tetapi ada banyak lagi di luar sana yang hanya memerlukan sedikit dorongan untuk capai ke tahap yang lebih tinggi lagi,” kata beliau dalam blog rasmi najibrazak.com.

Di penghujung lawatan kerjanya, beliau turut mengumumkan bantuan dana sebanyak RM2 juta daripada Khazanah Nasional bagi usahawan-usahawan Kilang Bateri sebagai dorongan kepada mereka yang kreatif dan mampu menjadi nadi pertumbuhan golongan baru yang akan terus menyumbang kepada pembangunan Iskandar Malaysia dan negeri Johor.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial