KIM SWEE ROMBAK SKUAD KEBANGSAAN HADAPI ARAB SAUDI

NSTP

KUALA LUMPUR: Kurang sehari dilantik jurulatih sementara pasukan kebangsaan, semalam Datuk Ong Kim Swee membuat rombakan dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan keempat Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 bertemu Arab Saudi, Selasa ini.  

Tindakan pantas itu dibuat pada sesi latihan pertamanya bersama pasukan kebangsaan, malam tadi dengan Kim Swee menyenaraikan lima pemain baharu selain menggugurkan enam pemain bagi aksi di Stadium Shah Alam itu nanti.  

Lima pemain yang dipanggil termasuk dua tonggak Harimau Muda B, Ramadhan Hamid dan Adam Nor Azlin, pertahanan Johor Darul Ta'zim, Fadhli Shas, penyerang Kelantan, Ahmad Fakri Saarani dan pemain tengah Perak, Nurridzuan Abu Hassan.    Ramadhan yang juga penjaga gol Harimau Muda B dipanggil bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Zamri Selamat yang sah mengalami kecederaan ACL, hari ini.  

Enam pemain yang digugurkan termasuk Zamir ialah pertahanan, Zubir Azmi yang turut cedera, Nor Farhan Muhammad, Shahrul Azwari Ibrahim, Syamim Yahyah dan S Kumaraahan. 

Perlawanan menentang Arab Saudi menjadi medan ujian pertama Kim Swee, 45 selepas kekalahan memalukan 10-0 skuad negara kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin. 

Kekalahan besar itu membawa kepada peletakan jawatan Dollah sejurus pasukan kebangsaan kendaliannya tiba di Malaysia, semalam. Bagi perlawanan menentang Arab Saudi, Kim Swee jelas memiliki persiapan cukup singkat iaitu kurang empat hari sebelum perlawanan berlangsung. 

Tanpa berpeluang menyenaraikan skuad pilihannya kerana peraturan kejohaan, tumpuannya kini tertumpu untuk mengembalikan moral pemain yang tercalar disebabkan kekalahan kepada UAE dan peletakan jawatan Dollah. 

"Lupakan kekalahan, ambil iktibar dan fokus pada perlawanan akan datang," katanya. Arab Saudi pada perlawanan ketiga kumpulan, juga Khamis lalu membelasah Timor Leste 7-0. Malaysia yang bertemu Timor Leste pada aksi pembukaan terikat 1-1.    

Berikut senarai 22 pemain Harimau Malaya dipanggil Kim Swee. 

Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat, Khairul Azhan Khalid, Ramadhan Hamid 

Pertahanan: Afif Amiruddin, Junior Eldstal, Amirizdwan Taj Tajuddin, Nazirul Naim Che Hashim, Matthew Davies, Razman Roslan, Fadhli Shas 

Tengah: Baddrol Bakhtiar, Amri Yahyah, Joseph Kalang Tie, Yong Kuong Yong, S Kunanlan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Safiq Rahim, Nasir Basharudin, Nurridzuan Abu Hassan 

Penyerang: Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Ahmad Fakri Saarani

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial