Kit Siang Ahli Parlimen Gagal – MCA

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang. – Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

BATU PAHAT, 26 Mac – MCA menyifatkan Lim Kit Siang adalah wakil rakyat ‘bidan terjun’ dan gagal kerana sering berubah kawasan yang ditandingi.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sikap berdolak-dalik Kit Siang dalam pemilihan kawasan yang mahu ditandingi juga mengaburi masyarakat di sebalik kegagalannya berkhidmat kepada rakyat di kawasannya.

Katanya, sikap Kit Siang yang gemar berdolak-dalik juga terserlah dengan kegagalannya memberikan jawapan konkrit ketika ditanya mengenai hasratnya bertanding di kawasan lain pada pilihan raya akan datang.

“Sejak dulu pun Kit Siang hanya bertanding sepenggal di kawasan yang ditandingi kecuali Ipoh Timur selama dua penggal. Beliau seperti calon bidan terjun bukan mahu berkhidmat pun.

“Dia (Kit Siang) suka berdolak-dalik dan tidak berani pun memberi kepastian sama ada untuk kekal di Gelang Patah atau bertanding di tempat lain apabila ditanya berikutan masyarakat di kawasannya, di Gelang Patah sudah mula bosan dan mempertikaikan peranannya sebagai Ahli Parlimen yang gagal menjalankan tugas.

“Oleh sebab itulah Kit Siang tidak berani beri jaminan akan kekal bertanding di Gelang Patah kerana bimbang masyarakat semakin mempertikainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengiringi lawatan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin ke Parlimen Ayer Hitam, di Dewan Komuniti Ayer Hitam, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali.

Semalam Kit Siang dilaporkan tidak menolak kemungkinan mencari kawasan `baharu’ untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Kit Siang dilaporkan berkata, walaupun Parlimen Gelang Patah menjadi keutamaannya tetapi jika ada permintaan atas faktor strategik kemenangan parti, beliau akan memikirkan perkara berkenaan. – Berita Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial