Kita Tidak Boleh Tewas – Khaled

PAGOH, 12 Ogos – UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang bagi membolehkan agenda pembangunan yang dirancang dapat diteruskan sehingga sempurna.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, kekalahan akan menyebabkan agenda bangsa dan agama mengalami kekurangan dan kelemahan kerana tidak lagi mempunyai kuasa untuk merangka dasar untuk dilaksanakan.

“Kita telah memulakan banyak perkara besar dan kita mesti berupaya untuk menerus dan menyempurnakannya. Johor mesti menang dengan majoriti dua pertiga dan Kerajaan Persekutuan juga mesti dibentuk dengan majoriti yang sama.

“Tanpa semua ini, kita tidak akan dapat menjadi kerajaan yang kuat dan efektif serta tidak boleh terus mentadbir dalam keadaan kita berkuasa tetapi sangat terbatas,” kata beliau ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu telah dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang turut melaksanakan tugas-tugas Timbalan Presiden parti itu.

Hadir sama, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

Tambah Mohamed Khaled, parti seperti DAP tidak boleh diharapkan untuk bersimpati dengan bangsa Melayu.

“Tidak wujud sedikit pun keprihatinan mereka kepada kita, tidak sedikit pun ada rasa sensitif terhadap agama kita. Yang jelas mereka mahukan Johor ini menjadi semakin liberal.

“Politik, ekonomi, sosial serta gaya hidup mesti dipisahkan dari perjuangan budaya bangsa dan pegangan agama. Johor tidak akan menjadi Pulau Pinang Kedua, yang kehidupannya dihambat dengan pemikiran liberal yang menghilangkan identiti bangsa dan agama,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial