Klinik 1Malaysia

Rakyat Malaysia patut rasa bertuah kerana mempunyai pusat kesihatan yang disediakan Kerajaan dengan menawarkan rawatan dengan kos serendah RM1.

Itu adalah janji Kerajaan yang mahu meningkatkan tahap kesihatan penduduk dengan kos yang minimum melalui penubuhan Klinik 1 Malaysia (K1M).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, K1M adalah cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkannya sendiri inisiatif ini semasa pembentangan Bajet 2010.

Katanya, penubuhan K1M itu selari dengan konsep “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan ia adalah salah satu daripada kaedah penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat.

“Konsep klinik itu bertujuan memberikan perkhidmatan asas dengan menumpukan kepada rawatan sakit ringan seperti demam, pening kepala selain menjalankan pemeriksaan terhadap tekanan darah dan kadar gula dalam darah.

“Semenjak K1M pertama memulakan operasi di Johor pada 2009, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat. Sehingga Disember 2013, sebanyak 23 K1M sudah beroperasi di Johor dan kira-kira 300,000 orang telah mendapatkan rawatan di K1M di seluruh Johor,” katanya kepada Jauhar baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ayub berkata, dengan adanya klinik seperti ini, ia banyak memberi faedah kepada rakyat terutamanya  mereka yang berpendapatan rendah di kawasan bandar.

“Ia lebih kepada mewujudkan klinik dalam ‘walking distance’ golongan berpendapatan rendah sekali gus menangani keperluan kesihatan yang semakin meningkat di kalangan miskin bandar.

“Malah tempoh operasi yang berbeza daripada klinik kesihatan kerajaan yang lain iaitu daripada jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam, tujuh hari seminggu termasuk cuti sekolah atau perayaan memberikan kemudahan kepada penduduk bandar yang rata-rata bekerja dalam sektor swasta,” jelasnya.

Kewujudan klinik ini juga dapat membantu mengurangkan kesesakan klinik kesihatan di kawasan bandar.

Klinik 1Malaysia dikendalikan oleh Penolong Pegawai Perubatan Jururawat, Jururawat Masyarakat dan Pembantu Perawatan Kesihatan yang terlatih.

Jelas Ayub, Penolong Pegawai Perubatan yang mengendalikan klinik berkenaan mempunyai pengalaman luas dan berupaya mengesan keadaan klinikal jika perlu segera dirujuk kepada doktor.

“Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kemampuan mereka mengendalikan pesakit kerana sekiranya terdapat kes-kes di luar bidang skop Penolong Pegawai Perubatan, ia akan dirujuk ke klinik kesihatan atau hospital terdekat,” ujarnya.

Ayub berkata, pada 2014 ini, empat lagi K1M akan dibuka di Johor iaitu dua di Kulaijaya, satu di Johor Bahru dan satu di Pontian.

Fungsi klinik ini juga akan diperluaskan kepada aktiviti pencegahan dan pengesanan penyakit-penyakit kronik.

 

KLINIK 1 MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial