KMJ 2014 berakhir semalam

NUSAJAYA: Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 yang bermula sejak 21 Jun lalu berakhir di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, semalam.

KMJ 2014 yang merentasi 10 daerah dengan catatan perjalanan sejauh 858 kilometer berkenaan bertujuan untuk memberikan kesedaran mengenai gaya hidup sihat dikalangan masyarakat pada masa kini.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata pelbagai aktiviti serta pameran melibatkan kesedaran kesihatan sepanjang perjalanan kembara ini diharap dapat melahirkan masyarakat yang sihat.

Di samping itu, beliau juga berkata perjalanan KMJ 2014 ini juga telah menonjolkan beberapa budaya dan warisan rakyat di setiap daerah di Johor.

“Dalam kembara ini, turut ditonjolkan ialah beberapa permainan tradisional seperti tarik tali dan memanjat tiang licin. Ini sekaligus dapat menghidupkan kembali adat serta budaya kita agar tidak larut ditelan zaman,” katanya.

Khaled berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup KMJ 2014, di sini semalam.

Sempena KMJ 2014, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, berkenan memberikan sumbangan peribadinya sebanyak RM100,000 kepada Pejabat Daerah dan Persatuan Teksi disetiap daerah di Johor.

Ketibaan rombongan KMJ 2014 itu turut diiringi oleh Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan kerabat diraja yang lain disambut meriah oleh masyarakat berbilang kaum.

Turut hadir dalam majlis itu ialah barisan exco kerajaan negeri dan ketua jabatan kerajaan.

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial