KMJ JALIN KEAKRABAN ISTANA – RAKYAT

zahid hamidi kembara mahkota johor 2015 .....

JOHOR BAHRU 27 Ogos – Program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 yang diadakan baru-baru ini berjaya mengeratkan lagi hubungan institusi diraja dengan rakyat jelata di negeri ini.

Bagi rakyat pelbagai kaum yang sinonim dengan gelaran ‘Bangsa Johor’, inilah masanya mereka bertemu empat mata dan beramah mesra dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan para kerabat yang berjiwa rakyat.

KMJ edisi ke-18 itu menyaksikan Sultan Johor menjelajah ke seluruh pelusuk negeri ini dengan menunggang motosikal Harley Davidson bersama konvoi motosikal berkuasa tinggi yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Program yang bertemakan ‘Muafakat Bangsa Johor’ tersebut turut diserikan lagi dengan penglibatan Raja Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam serta anakanda yang lain.

Siri jelajah sejauh 858 kilometer itu bermula dari daerah Pontian melalui Batu Pahat dan Muar pada hari pertama dan bergerak menuju ke Ledang, Segamat dan Kluang pada hari kedua.

Pada hari ketiga jelajah pula menyaksikan Sultan Ismail mempamerkan kemahiran baginda me­ngendalikan bas mewah, Prevost Marathon Coach ke Mer­sing dan Kota Tinggi dan sebelum kembali menunggang motosikal pada hari terakhir menuju Kulaijaya dan Johor Bahru.

Usaha murni baginda perlu diberi pujian dan menjadi ikutan kerana saban tahun tanpa mengenal penat dan lelah sanggup berpanas dan berhujan semata-mata untuk mendekati rakyat jelata serta meninjau pembangunan dan kemajuan negeri.

Walaupun di beberapa hentian baginda berkenan melawat untuk tempoh kurang setengah jam, namun peluang tersebut amat dihargai penduduk setempat dan menga­badikan pengalaman bermakna itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui KMJ 2015 merupakan manifestasi pemerintahan yang sentiasa meng­utamakan kepentingan rakyat serta pelbagai aktiviti yang diadakan begitu menyerlahkan keakraban baginda dan kerabat diraja dengan rakyat jelata.

Beliau berkata, KMJ juga memperlihatkan betapa kukuh dan dekatnya institusi raja dalam hati rakyat kerana peranan besar pihak istana untuk mewujudkan suasana kehidupan yang sejahtera, makmur dan maju.

“Kembara ini juga membuka ruang untuk semua pihak menambah baik segala perkhidmatan dan amal serta bakti kepada rakyat sei­ring dengan dasar pembangunan negeri yang bersifat prorakyat dan inklusif,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penutupan KMJ 2015 di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Mutiara Rini dekat sini.

Tidak seperti siri kembara yang terdahulu, KMJ 2015 mengetengahkan penganjuran acara sukan rakyat dan permainan tradisional seperti batu seremban, congkak, capteh, tarik upih dan galah panjang bagi memperkenalkannya semula kepada generasi baharu.

Ketika konvoi KMJ berangkat tiba di Taman Rekreasi Tampok Laut, Pontian, Sultan Ibrahim turut berkenan menyertai permainan tarik upih.

Turut serta dalam acara tersebut Mohamed Khaled, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pre­siden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.

Selain penganjuran acara sukan rakyat, turut mencuri tumpuan sepanjang siri jelajah empat hari itu adalah pameran tentang Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Yayasan yang dijangka bero­perasi sepenuhnya pada tahun depan mendapat perhatian masyarakat setempat yang menghebahkan tentang fungsinya bagi memberi bantuan khidmat kaunseling dan pemulihan kepada pesakit kanser.

KMJ yang menjadi acara tahunan itu dilihat mampu memperkukuhkan lagi hubungan baik antara istana dengan rakyat jelata pada masa akan datang.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial