Komuniti Nelayan Terus Dibela, Berperanan Penting Dalam Rantaian Ekonomi Negeri

image

PASIR GUDANG, 14 Ogos – Kerajaan Negeri Johor akan terus membela nasib golongan nelayan melalui pelbagai dasar yang direka bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup mereka, malah memberi manfaat kepada masyarakat secara umum.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata golongan itu perlu dibela kerana mereka memainkan peranan penting dalam menggerakkan rantaian ekonomi negeri.

“Adalah penting buat kita untuk terus mempertahankan komuniti nelayan, untuk itu kita perlu memastikan mereka mendapat manfaat dan pendapatan yang setanding dengan bidang pekerjaan yang lain.

“Kita telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada golongan nelayan untuk kita memastikan mereka turut menceburi bidang yang lain di dalam rantaian nilai bidang mereka seperti pemasaran dan peruncitan tanpa menggunakan khidmat orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pasar Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru di Pengkalan Nelayan, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz.

Tambah Mohamed Khaled, dengan segala kemudahan dan bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan, golongan nelayan tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga pasaran ikan agar manfaat bukan sahaja diterima oleh komuniti nelayan tetapi seluruh masyarakat sekeliling.

Pada majlis itu, turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM150,000 bagi tujuan pembinaan sebuah medan selera ikan bakar yang akan dibina pada tahun hadapan bagi tujuan menarik lebih ramai masyarakat untuk datang berkunjung ke Kampung Pasir Gudang Baru.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Johor, Mohd Farid Sharif berkata LKIM telah membelanjakan sebanyak RM1.6 juta dari tahun 2007 hingga 2016 khusus bagi tujuan pembinaan pasar nelayan.

“Terdapat 10 pasar nelayan di negeri Johor termasuk Pasir Gudang Baru iaitu masing-masing dua di Tangkak, Muar dan Kota Tinggi, manakala sebuah di Mersing, Pontian, dan Batu Pahat,” katanya.

Tambahnya, setiap pasar nelayan mempunyai model perniagaan yang tersendiri yang bergantung kepada kehendak pasaran tempatan yang mengutamakan Persatuan Nelayan dan ahli-ahli sebagai peserta dan pembekal ikan.

Pasar Nelayan yang mula dibina pada Januari tahun ini, siap sepenuhnya pada April dengan kos pembinaan sebanyak RM167,793.

Ia mula beroperasi pada 30 Julai lalu dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Pasar itu berupaya menjual 200 hingga 250 kilogram pelbagai jenis hasil laut sehari pada harga yang berpatutan.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial