Kontraktor Bumiputera Sertai Projek Di Pengerang

pipcPENGERANG bakal berubah wajah menjelang 2016 apabila semua projek berkaitan minyak dan gas (O&G) di zon Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) siap sepenuhnya. Ketika ini, kerja-kerja pembinaaan dan penyediaan infrastruktur sedang giat dijalankan.

Projek terletak di timur Johor itu secara keseluruhannya melibatkan kawasan seluas 9,105 hektar  dan pembangunan yang berlaku antaranya meliputi pembinaan loji penapisan minyak, loji petrokimia dan terminal simpanan minyak serta jeti laut dalam.

PIPC adalah antara komponen penting dalam usaha menggapai transformasi Malaysia bagi memacu negara untuk menyertai zon negara maju  menjelang 2020.  Di samping itu, ia secara tidak langsung menjadikan Malaysia dan Johor sebagai pusat industri dan perdagangan O&G di rantau ini.

Turut dibangunkan dalam PIPC ialah Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) milik Petronas.  Projek itu dibangunkan di atas tanah berkeluasan 2,428 hektar dengan nilai pelaburan adalah RM60 bilion.  Pembangunan RAPID merangkumi pembinaan 20 kilang penapisan minyak mentah selain kompleks polimer dan petrokimia.

Melihat kepada kerancakan pembangunan ini, kerajaan negeri berpendapat, kontraktor Bumiputera harus terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan projek pembangunan mega tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kontraktor Bumiputera untuk terlibat dengan pembangunan tersebut.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) telah menyediakan satu kerangka kerja (framework) untuk pembangunan kontraktor Bumiputera di kawasan berkenaan.

Jelas Hasni, kerangka kerja yang disediakan itu nanti akan dijadikan sebagai blueprint pembangunan kontraktor Melayu Johor. “Satu daripadanya adalah melibatkan mereka dengan projek yang ada di Pengerang. Banyak projek yang boleh ditawarkan kepada mereka. Antaranya, kerja-kerja berkaitan kimpalan, saluran paip dan kerja-kerja lain yang dikenalpasti,” katanya.

Kerajaan Negeri juga secara dasarnya telah berbincang dengan Petronas untuk melibatkan kontraktor Bumiputera Johor dalam kerja-kerja pembinaan (RAPID) miliknya.

“Petronas telah bersetuju mengenai perkara itu. Dan kerja-kerja yang ditawarkan adalah bidang kerja yang mampu memberikan pulangan yang baik di samping memiliki memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada kontraktor berkenaan.

“Saya harap kontraktor Bumiputera yang dipilih mampu menjalankan amanah dan menyiapkan kerja yang berkualiti dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Selain itu, Petronas juga akan membuka peluang bagi kerja-kerja infrastruktur bekalan air mentah kepada kontraktor Bumiputera Johor.

"Bagi projek pembekalan air mentah ini, sebanyak 25 peratus daripadanya telah diperuntukkan untuk kontraktor Bumiputera di Johor,” katanya.

Beliau menjelaskan, beberapa syarikat Bumiputera telah dikenal pasti untuk terlibat dengan RAPID dan pemilihannya adalah dengan mengambil kira faktor kemampuan kewangan syarikat mereka dan pengalaman bekerjasama dengan syarikat multinasional.

"Ini penting supaya kerja-kerja pembinaan dan pemasangan yang mereka lakukan itu kelak tidak berhadapan dengan masalah khususnya modal".

"Bagi memastikan ia tidak berlaku, saya mencadangkan supaya setiap kontraktor yang dipilih haruslah disenaraikan terlebih dahulu dan syarikat itu pernah melaksanakan projek bernilai RM100 juta ke atas,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial