Konvensyen UMNO Johor: Capai Persetujuan Dua Perkara

JOHOR BAHRU, 11 Nov – Konvensyen UMNO Johor yang berakhir hari ini, sebulat suara bersetuju untuk mengangkat dua isu iaitu pendidikan berkualiti dan menjadikan Islam sebagai dorongan perubahan kepada masyarakat Melayu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pendekatan itu dipersetujui lebih 700 perwakilan yang mengambil bahagian dalam konvensyen dua hari itu.

Selain dua perkara itu, katanya, konvensyen turut membincangkan persiapan parti berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) selain aliran pengundian di negara lain.

“Secara umumnya, konvensyen bersetuju mengenai pendekatan diambil dan saranan dibuat khususnya mengenai pendidikan yang disediakan mesti pendidikan berkualiti, bukan sahaja kita perlu lihat pada soal akses (keupayaan mendapatkan pendidikan), itu sudah dibuat sejak dahulu.

“Konvensyen juga bersetuju dari segi perjuangan UMNO dalam Islam, bukan sahaja soal pembaharuan dalam Mahkamah Syariah atau kenaikan gaji guru agama, tetapi lebih kepada soal bagaimana Islam dijadikan asas mendorong perubahan dan kebaikan untuk orang Melayu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penutup di majlis penutupan Konvensyen UMNO Johor yang berlangsung secara tertutup, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled menghadiri perjumpaan tertutup kira-kira dua jam bersama semua perwakilan UMNO Johor bagi mendengar taklimat dan penerangan gerak kerja pilihan raya. – Berita Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial