Koperasi Iskandar Malaysia ditubuh bantu kurangkan kos sara hidup

KOTA ISKANDAR: Kerajaan Negeri akan menubuhkan Koperasi Iskandar Malaysia sebagai salah satu langkah menyediakan peluang dan pilihan untuk rakyat terlibat sama dalam aktiviti ekonomi di wilayah ekonomi itu.
 
Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, Koperasi itu akan ditubuhkan tahun hadapan akan terlibat dalam menubuhkan 150 kedai harga patut dalam masa 3 tahun di beberapa lokasi di Iskandar Malaysia.
 
“Koperasi ini juga akan terlibat dalam pembangunan rangkaian nilai untuk kedai harga patut ini termasuklah warehousing; marketing and branding; distribution; packaging dan lain-lain aktiviti berkaitan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua (Bajet 2015) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke 13 di sini.
 
 Katanya, pendekatan koperasi dilihat efektif dalam membantu mengurangkan kos sara hidup kerana keahlian Koperasi Iskandar Malaysia terbuka kepada masyarakat berbilang kaum, yang mana mereka sebagai ahli akan menikmati dividen daripada setiap keuntungan yang dijana oleh koperasi tersebut.
 
“Sebagai ahli koperasi pula, mereka akan memastikan perniagaan koperasi berkenaan berjaya dan dapat menjana keuntungan dengan mendapatkan barangan keperluan harian mereka dari kedai harga patut milik koperasi itu sendiri, di samping penawaran barangan keperluan yang lebih kompetitif dan murah daripada harga pasaran semasa,” katanya.
 
Selain itu, beliau berkata, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) juga sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk merancang, memudahcara dan mempromosi penubuhan Koperasi ini, dan Kerajaan Negeri telahpun bersetuju untuk menyediakan matching grant sehingga RM 10 juta daripada Kumpulan Wang Projek Sosial IRDA untuk menjayakan usaha berkenaan.
 
Sementara itu, berkenaan tanah rezab Melayu, Mohamed Khaled berkata, tanah rezab Melayu akan kekal sebagai antara agenda utama Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar.
 
Katanya, selari dengan matlamat tersebut, beberapa langkah proaktif dan khusus yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam melindungi dan mempertahankan tanah Rezab Melayu.
 
" Antaranya menukarkan status kesemua tanah peneroka FELDA seluas 145,970 hektar dan tanah FELCRA kepada Rizab Melayu dan mewujudkan Inventori Maklumat Tanah-tanah Rizab Melayu.
 
“Pejabat Tanah dan Galian Johor akan menguatkuasakan arahan Pekeliling Bil. 2/83 kepada semua pentadbiran tanah di Negeri Johor yang mengkehendaki supaya maklumat tanah-tanah rizab Melayu dilaporkan kepada PTG setiap 6 bulan.
 
“Bagi memastikan tanah-tanah Rezab Melayu yang diluluskan kurniaannya dipatuhi oleh pemilik untuk dijadikan sebagai Rezab Melayu, Kerajaan Negeri mensyaratkan agar hakmilik tanah tersebut didaftarkan serentak dengan kaveat Pendaftar yang akan bertindak sebagai satu halangan sekiranya ada percubaan untuk menjual tanah-tanah kurniaan ini kepada pihak yang bukan Melayu.
 
Tambah beliau lagi, bagi menjamin tanah-tanah Rizab Melayu ini kekal, Kerajaan akan menguatkuasakan tindakan perampasan tanah yang didapati telah bertukar pemiliknya kepada bukan Melayu sama ada melalui pertukaran pegangan saham atau pengambil alihan syarikat
 
"Selain dari itu, beliau berkata, bagi mana-mana syarikat yang telah berdaftar sebagai  Melayu di bawah Jadual Kedua Enakmen Rizab Melayu Johor 1936, satu endorsmen mengenai kemasukan syarat tersebut sebagai Syarikat Melayu akan diturunkan ke atas hakmilik tanah yang dipegangnya," katanya.
 
Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial