Koperasi Seri Cempaka Bantu Usahawanita Pasir Gudang

IMG_4223

PASIR GUDANG, 14 Jan – Pembukaan Kedai Koperasi Seri Cempaka milik Koperasi Seri Cempaka di sini, dilihat mampu membantu meningkatkan pemasaran produk-produk usahawanita di sekitar Pasir Gudang.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata dengan pembukaan Koperasi Seri Cempaka, ia boleh menjadi sebuah koperasi yang mana perniagaan asasnya adalah untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh usahawanita Pasir Gudang.

“Saya berharap koperasi itu dapat memainkan peranan untuk memasarkan produk-produk tersebut kerana bidang pemasaran dapat memberi pulangan yang besar.

“Malah, saya juga menyokong penubuhan koperasi kerana setiap ahli koperasi akan mendapat agihan keuntungan jika koperasinya bergerak secara aktif yang dapat membantu menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Kedai Koperasi dan Mesyuarat Agung Koperasi Seri Cempaka, di Dataran Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, A. Rahim Nin; Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Hasrin Kamal Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Dato’ Normala Abdul Samad.

Beliau berkata, dalam usaha menggalakkan kegiatan keusahawanan di kalangan masyarakat, pihak koperasi disaran untuk memasarkan produk menggunakan medium secara atas talian atau ‘online’ untuk meningkatkan jualan.

“Malah, pihak Koperasi juga perlu mengenal pasti produk-produk usahawanita untuk mendapatkan kelulusan sijil halal kerana soal itu adalah penting dalam pemasaran sesuatu produk,” tegasnya.

Beliau menambah, peranan yang dimainkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menyediakan keperluan untuk berniaga seperti kedai juga dapat membantu mencapai tujuan tersebut.

“Pihak Majlis dan PBT perlu merancang dan mengambil tindakan dalam memenuhi kehendak dan keperluan perniagaan di kawasan PBT masing-masing.

“Ini kerana semua peniaga adalah pemegang taruh di sesuatu kawasan, dan hubungan itu perlu di jaga dengan baik,” katanya.

Kedai koperasi yang beroperasi sejak September tahun lalu itu, menyediakan ruang perniagaan untuk peniaga kecil berniaga bagi menambah pendapatan menampung kos sara hidup.

Dengan keahlian seramai 267 usahawanita sekitar Pasir Gudang, Koperasi Seri Cempaka berjaya menempatkan 57 ahli Kelab Usahawanita P159 dengan memasarkan pelbagai produk seperti makanan, kesihatan dan perhiasan.

Kelab Usahawanita P159 turut menguruskan Pasarnita Scientex sejak September tahun lalu membabitkan 37 peniaga.

Malah, perancangan selepas itu ialah penyediaan Pasarnita Johor Jaya, Pasarnita Laman Tasek dan Taman Cendana di sini, selain `flea market’ di Bukit Layang-Layang setiap Sabtu membabitkan 25 ahli kelab.

IMG_4230

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial