Kos Tanah Penghalang Usaha Bina Hospital Swasta Di Segamat

SEGAMAT, 29 Mac – Harga tanah terlalu tinggi merupakan salah satu faktor yang membantutkan usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah hospital swasta di daerah ini.

Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, tapak cadangan telah pun dikenal pasti sebelum ini, namun kos pengambilalihan tanah yang terlalu tinggi membuatkan usaha tersebut tertangguh.

“Sebenarnya, banyak pihak berminat untuk membina hospital swasta di sini termasuk pihak KPJ Healthcare dan semua pihak tersebut sedang dalam usaha mengenal pasti lokasi lain yang sesuai.

“Dijangkakan kos untuk membina bangunan hospital tersebut yang mempunyai 100 katil dianggarkan sebanyak RM60 juta, manakala RM40 juta lagi diperlukan bagi tujuan kelengkapan lain,” katanya selepas merasmikan Program Catur Cilik Bestari, Tuisyen Johor Corporation dan Semarakkan Jawi 2017 peringkat daerah Segamat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bentara Dalam Segamat, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Kulim (Malaysia) Berhad, Zulkifly Zakaria dan Timbalan Pegawai Pendidikan Segamat, Hamzah Ahmad.

Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah turut mengaku berusaha keras memujuk pemain utama sektor kesihatan yang menunjukkan minat untuk datang membuat pelaburan di Segamat sebelum ini.

Beliau berkata, adalah merugikan apabila selama ini penduduk yang berkemampuan di daerah ini terpaksa mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta di Batu Pahat, Muar, Melaka dan Johor Bahru.

“Segamat merupakan lokasi yang mempunyai potensi untuk mereka melabur memandangkan keadaan ekonomi penduduk yang semakin baik ditambah sebagai lokasi pilihan penduduk di sekitar Muadzam Shah, Pahang dan Gemas, Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial