Kota Tinggi, Bandar Satelit Johor Bahru

KOTA TINGGI, 18 Mei – Kerajaan Negeri merancang untuk menjadikan daerah Kota Tinggi sebagai bandar satelit bagi Johor Bahru, selain tertumpu terhadap sektor pelancongan dan pertanian.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata daerah itu yang terletak di utara ibu negeri itu boleh menjadi bandar satelit, sama seperti Pekan Nenas, Pontian dan Tanjung Piai di barat bandar raya terbabit.

“Ini kerana jarak perjalanan antara Kota Tinggi dan Johor Bahru mengambil tempoh masa 40 minit hingga sejam sahaja, selain mempunyai ramai penduduk di sebelah timur iaitu Pengerang.

“Oleh itu, kita boleh rangka Kota Tinggi menjadi bandar satelit, sama seperti yang mengelilingi Washington, New York dan New Jersey,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah FELCRA Sedili Besar 3 sempena lawatan kerja beliau ke Parlimen Kota Tinggi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, jika Kerajaan Negeri tidak melakukan apa-apa untuk merancakkan aktiviti ekonomi di Kota Tinggi yang rata-ratanya terdiri daripada nelayan dan petani, akhirnya akan menyaksikan satu jurang besar antara daerah itu dengan kawasan lain.

“Jadi, pendekatan Kerajaan Negeri ialah mahu keadaan ini tidak berterusan. Berkemungkinan mulai tahun depan, kita akan rapatkan jurang ini khususnya infrastruktur di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled memaklumkan sudah meminta Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) untuk membangunkan kegiatan dan aktiviti pelancong yang boleh disertai oleh masyarat di Kota Tinggi.

“Oleh itu, KEJORA mesti proaktif dan Kota Tinggi akan ketinggalan jika tidak berbuat demikian,” katanya.

Ditanya sama ada cadangan bandar satelit akan menjadikan harga hartanah di Kota Tinggi semakin mahal, beliau berkata, ia tidak betul kerana tidak semestinya semua yang ada di Iskandar Malaysia akan dibuat di Kota Tinggi apabila mahu mewujudkan pembangunan inklusif dan seimbang.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial