KPI Bukan Untuk Menghukum

Mohamed Khaled

JOHOR BAHRU, 2 Mei – Kerajaan Negeri hari ini menegaskan bahawa sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) merupakan satu sistem berfokus untuk menentukan berlakunya pencapaian dan prestasi, dan ia bukan satu sistem untuk menghukum mana-mana pihak.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, perlaksanaan sistem KPI itu juga adalah hasil perbincangan dan persetujuan di antara semua Pengerusi Jawatankuasa Negeri atau Exco secara bersama dengannya.

“Setiap Exco akan berbincang dan menetapkan pelan dan perancangan yang ingin dilaksanakan, jika KPI tersebut terlalu rendah atau terlalu tinggi kita akan perbetulkan berdasarkan keupayaan Exco itu.

“Tetapi, apabila sesuatu KPI tidak dapat dicapai, kita akan berbincang semula untuk menyelesaikannya supaya kita tahu apakah isu yang menjadi halangan atau jabatan mana yang belum melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan di Majlis EXCO Awayday 2017, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Masa Hadapan, beliau berkata kertas cadangan penubuhannya sedang dalam peringkat akhir.

“Saya mensasarkan seramai 13 orang pakar ekonomi dari dalam dan luar negara akan terlibat, manakala nama-nama mereka sedang dikenal pasti hasil perbincangan secara bersama dengan semua Exco.

“Mereka akan membantu dalam memberi idea dan pandangan untuk meletakkan kedudukan negeri Johor bagi berhadapan dengan ekonomi digital selain sektor ekonomi masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri melalui kerjasama Bait Al-Amanah juga telah menyiapkan ‘Johor Development Report 2016’ yang merupakan dokumen penting yang merekodkan segala prestasi, kedudukan serta pencapaian negeri.

“Penyediaan laporan itu dilaksanakan oleh Bait Al-Amanah melalui sumbangan secara percuma kepada Kerajaan Negeri untuk mengkaji perkara-perkara dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.

“Ia mengandungi pelbagai rumusan mengenai pencapaian Kerajaan Negeri yang antaranya menyentuh mengenai isu perumahan, sekolah dan sebagainya yang boleh dijadikan rujukan oleh rakyat.

Menurutnya lagi, dengan adanya laporan tersebut ia dapat menerangkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, berfokus dan mempunyai agenda.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial