KPI: MB jumpa Semua Exco Bulan Depan

KLUANG: Menteri Besar, Dato' Mohamed Khaled Nordin akan mengadakan pertemuan bersama kesemua Exco Kerajaan Negeri Johor bulan depan bagi meneliti petunjuk prestasi utama (KPI) yang dicapai setiap portfolio sepanjang tahun lalu.

Mohamed Khaled berkata, pertemuan bersama setiap Exco secara berasingan itu juga akan membincangkan perancangan yang akan dijalankan di bawah setiap portfolio bagi tahun ini.

"Dalam perbincangan pertama bersama barisan Ahli Exco pada satu majlis khas yang diadakan Sabtu lalu, kami telah membincangkan secara umum pencapaian bagi sepanjang sepanjang tahun lalu dan perancangan untuk tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Yayasan Perbandaran Kluang di Kampung Melayu Kluang  sempena lawatan kerjanya sehari ke daerah itu.

Mohamed Khaled berkata, penelitian ke atas KPI itu bukan sahaja membolehkan pencapaian seseorang Exco dinilai malah ia membolehkan penambahbaikan dilakukan pada masa hadapan.

"Saya akan berjumpa setiap Ahli Exco secara persendirian bulan depan bagi membincangkan KPI baharu bagi tahun ini yang akan dimuktamadkan," jelasnya.

Pada lawatan itu, beliau turut meninjau masalah perparitan yang mengakibatkan banjir kilat di Taman Fajar dan bermesra dengan golongan belia sebelum menghadiri majlis penyerahan hak milik tanah di Felda Layang-Layang.

Mengulas mengenai lawatan kerja sehari itu, beliau berkata, daerah berkenaan mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan kerana memiliki pelbagai kelebihan alam semulajadi terutama dalam sektor eko pelancongan dan ekonomi.

"Selain dikenali dengan Stesen Keretapi Kluang, daerah ini mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan terutama dalam industri ikan hiasan dan sukan permotoran.

"Justeru, saya berharap agar semua pihak temasuk kerajaan pusat untuk membantu kerajaan negeri  bersama-sama membangunkan potensi yang ada di daerah ini,” katanya.

Pada lawatan kerja itu, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM280,000 kepada penduduk di Felda Layang-layang bagi membina bilik gerakan penerokawati felda (RM100,000),  pembinaan baru kedai usahawan belia Felda, (RM120,000)dan bina bangunan persatuan kebajikan penduduk dan rekreasi felda berkenaan (RM60,000).

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial