KPJ RANCANG BINA 2 HOSPITAL SETAHUN

image (2)

MUAR 27 Ogos – KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare) merancang untuk membina sekurang-kurangnya dua hospital baharu di seluruh negara setiap tahun, sekali gus dapat memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.

Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) berkata, rancangan itu dilihat realistik bagi memenuhi keperluan pengguna terhadap sektor kesihatan pada masa akan datang.

Beliau berkata, hingga kini KPJ Healthcare yang merupakan penyedia perkhidmatan kesihatan terbesar negara telah mempunyai 25 Hospital Pakar KPJ yang beroperasi di seluruh negara.

“Dua hospital baharu yang dijangka dibuka pada tahun ini ialah Hospital Pakar KPJ Kuantan dan Hospital Pakar KPJ Perlis.

“Malah, kita juga optimis dua lagi hospital sama bakal beroperasi pada tahun depan, masing-masing di Sarawak dan Perak,” katanya selepas melawat Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Pengarah Urusan Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, Khairun Ahmad.
Kamaruzzaman berkata, di Johor pula, sebanyak dua buah hospital pakar masih dalam pembinaan, iaitu di Kluang dan Sri Gading, manakala di Segamat pihaknya masih mencari lokasi yang sesuai.

Dalam pada itu, beliau berkata, Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani yang kos pembinaannya menelan belanja RM48 juta dijangka siap sepenuhnya pada November ini.

“Hospital ini sudah mempunyai 11 doktor pakar dalam pelbagai bidang dan jumlahnya akan ditambah dengan tiga doktor pakar pelawat dalam bidang radiologi, nefrologi dan pediatrik.

“Selain itu, para pesakit juga boleh mendapatkan kemudahan rawatan hemodialisis di hospital ini apabila mula beroperasi pada September ini. Malah, hospital ini juga akan membuka pusat rawatan jantung dan pusat penjagaan warga emas kelak,” katanya.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial